Assalammualaikum wbt,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Marilah kita semua merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun 2011. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan yang mulia.

 

Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

 

Matlamat kerajaan untuk membina 1 transformasi negara adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Maka, para pendidik haruslah menguasai perkara ini agar matlamat untuk mentranformasikan pendidikan negara tercapai seperti yang ditetapkan oleh kerajan dengan menerapkan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi). Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya transformasi dalam kalangan rakyat akan dapat diwujudkan.

 

Transformasi merupakan aspek penting dalam pendidikan negara. Oleh itu ia perlu diberikan perhatian sepenuhnya oleh setiap orang. Kerajaan akan terus menyokong transformasi pendidikan negara bagi memperkukuhkan jati diri, membina identiti nasional dan memlahirkan sumber manusia berilmu yang bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Guru” kepada semua warga pendidik khususnya di sekitar kawasan Parlimen Parit. Jasa dan pengorbanan kalian akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat. Sekian.

 

YB Drs Mohd Nizar Haji Zakaria

– Ahli Parlimen Parit –

There are no comments yet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked (*).