KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, menafikan sekeras-kerasnya beliau ada menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, setia dengan parti dan akan terus berpegang teguh kepada pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terbabit dalam polemik ini. Sesungguhnya saya tidak pernah menandatangani sebarang SD bagi menyokong Anwar Ibrahim.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen UMNO, saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang sudah dibuat oleh UMNO,” katanya.

Mohd Nizar antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menandatangani SD menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

UMNO sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP serta terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).