IPOH – Kerajaan negeri menyarankan 26 pusat tahfiz di negeri ini untuk mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri (Jaipk) bagi membentuk kolaborasi memantau aspek keselamatan sekolah.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pihaknya telah mengenal pasti sejumlah 119 sekolah termasuk sekolah pondok di mana 30 daripadanya masih dalam proses pendaftaran.

Menurutnya, sekolah berkenaan wajib berbuat demikian kerana ia termaktub mengikut Seksyen 5 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.

“Pengusaha sekolah tahfiz perlu didaftarkan supaya kerajaan dapat beri pandangan dan nasihat selain memudahkan urusan pemantauan dan statistik maklumat murid, guru, kegiatan kokurikulum, silibus dan aspek keselamatan yang diperlukan.

“Kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak sekolah, bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat agar dapat memantau bersama. Prosedur operasi standard (SOP) kena ada seperti keadaan bangunan, pendawaian, infrastruktur dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nizar berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memastikan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat dan maahad tahfiz sentiasa baik dalam konteks kokurikulumnya.

“Kerajaan negeri menerusi Jaipk sering mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan sekolah agama ini untuk memantau proses kokurikulum dan sibilus yang bervariasi. Tambahan pula, kerajaan persekutuan turut menyediakan peruntukan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar.

“Pengusaha-pengusaha sekolah tahfiz disaran bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keselamatan anak-anak yang belajar di sekolah mereka supaya tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dapat dijadikan iktibar,” katanya.