Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan menyambut baik pengumuman Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2022 mengenai insiatif pemberian Kit Kebersihan Asas kepada remaja perempuan dalam kalangan B40 seluruh Malaysia yang akan diterajui oleh LPPKN.
Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pemberian kit kebersihan diri ini akan mampu membantu golongan wanita terutamanya remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.
Beliau berkata, pemberian ini juga adalah sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita terutama yang memerlukan ketika negara berada dalam fasa pemulihan.
Pusat Remaja Kafeteen LPPKN di seluruh negara akan bertindak sebagai penyelaras bagi mengadakan program dan aktiviti pemberian kit berkenaan. Sebagai nilai tambah, setiap penerima akan mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian dikendalikan oleh Pembimbing Remaja KafeTEEN.
Mereka juga akan didaftarkan sebagai ahli baru Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan dan bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

