TELUK INTAN: Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak bukan sahaja disertai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan di negeri Perak, malah ia turut disertai oleh Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) yang beroperasi di Kuala Lumpur.
PICOMS adalah milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Malah, mereka permukiman di Hilir Perak adalah yang ketika mereka sertai selepas permukiman di Bagan Datuk dan Perak Tengah.
Sepanjang di Hilir Perak, hampir 40 anggota pengurusan tertinggi, tenaga pengajar dan kakitangan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diketuai Timbalan Pendaftar Kemasukan dan Korporat PICOMS, Emilia Faliza Ramli.
Mereka memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, ubat-ubatan yang diperlukan, sumbangan peralatan dapur dan khidmat nasihat.
Menurut Pengurus Operasi MAIWP – PICOMS Nursing Home Care, Rosma Aida Rameli, sejak memulakan jelajah CSR tahun lalu, Permukiman Menteri Besar di Hilir Perak adalah merupakan siri jelajah yang ke – 15.
Katanya, selain CSR, siri Jelajah PICOMS juga bertujuan untuk memperkenalkan kolej tersebut kepada masyarakat di samping mencari pelajar yang berminat untuk melanjutkan penganjian di kolej berkenaan.
“Kita akan teruskan siri jelajah ini dan selain daripada Perak, kami juga telah menjelajah hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Suara Perak selepas mengambil bahagian di dalam perlawanan persahabatan sukan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di pekarangan pejabat pentadbiran agama daerah Hilir Perak di sini pada petang Khamis.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Menurut Rosma Aida, berdasarkan pengalaman sejak dua permukiman lalu, antara masalah utama penduduk di kawasan pedalaman, termasuk di kalangan masyarakat Orang Asli ialah penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, di samping obesiti.
Sehubungan itu, kata beliau, program yang dianjurkan kerajaan negeri Perak itu sangat berguna kerana ia boleh membantu mengesan lebih awal penyakit-penyakit tidak berjangkit itu di kalangan rakyat.
“Selain membantu menyelesaikan masalah rakyat, program permukiman ini juga boleh membantu kita mengesan lebih awal penyakit-penyakit tersebut dan seterusnya memberi khidmat nasihat kepada mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, PICOMS bukan sahaja mempunyai kolej, malah turut mempunyai pusat perdagangan (trade centre) yang menawarkan khidmat dialisis, farmasi dan pusat fisioterapi di samping beberapa produk penjagaan kulit (merial) dan minyak aurora.
“Kami bukan sahaja melatih atau mengajar penuntut di dalam bidang sains perubatan, malah kami juga memberi peluang pekerjaan kepada yang layak di samping membentuk mereka yang berminat menjadi usahawan,” tambahnya.
PICOMS menawarkan pelbagai kursus peringkat diploma antaranya Teknologi Makmal Perubatan, Pembantu Perubatan, Kesihatan & Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan Persekitaran,Pengurusan Hotel, Terapi, Sains Kejururawatan, Sains Perubatan daan Fisioterapi.
Kolej itu melakukan pengambilan pelajar sebanyak tiga kali setahun iaitu April, Julai dan Oktober.
Penuntut pengambilan April ditawarkan beberapa keistimewaan seperti wang saku RM300 sebulan daripada Baitulmal kepada mereka yang layak dan kemudahan asrama dan pengangkutan percuma selama tiga tahun selama mereka berada di kampus.
Mereka yang berminat boleh melayari laman web
www.picoms.edu.my.
Sementara itu, Drs Nizar berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi bekerjasama di dalam program permukiman.
“Kita bukan sahaja mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi, malah kita turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, contohnya PICOMS untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat setempat sepanjang program permukiman,” ujarnya.