IPOH : Kerajaan negeri memperuntukkan bantuan perkapita sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) KAFA Integrasi dan SRAR KAFA sepenuh masa pada tahun ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria (BN-Belanja) berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut memperuntukan sebanyak RM1.3 juta kepada SRAR KAFA Integrasi dan SRAR KAFA sepenuh masa.

“Pada tahun 2016, kerajaan negeri telah memperuntukan bantuan sebanyak RM2,510,757. Pecahan terbahagi kepada SRAR KAFA Integrasi sebanyak RM2,345,409 dan SRAR KAFA Sepenuh Masa sebanyak RM164,348.

“Sementara itu bagi peruntukan dari MAIPk pula, pecahan terbahagi kepada RM1,042,404 untuk SRAR KAFA Integrasi dan sebanyak RM306,200 untuk SRAR KAFA Sepenuh Masa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Zainun Mat Noor (BN- Chenderoh) dalam Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Jelas Nizar lagi, selain itu, Kerajaan negeri dan MAIPk turut berganding bahu dalam memperuntukan bantuan pembangunan bagi tahun 2016 sebanyak RM241,000 untuk tujuan pembangunan kepada SRAR dan Tahfiz di negeri ini.

Ujarnya lai, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada isu berkaitan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat di negeri ini.

“Bagi menjaminkan kelangsungan Pendidikan Islam, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang berjumlah RM3 juta bagi tujuan pembangunan dan baik pulih Sekolah Agama Rakyat,”jelasnya.

Katanya lagi, sehingga kini, Perak mempunyai 684 buah sekolah di 12 buah daerah melibatkan 3,150 orang guru dan 86,867 orang murid yang berada dalam pemerhatian kerajaan negeri Perak.

“Kerajaan negeri juga mempunyai perancangan dalam Pelan Strategik 2017-2021 dari segi pembangunan bagi mewujudkan Sekolah Contoh di setiap 12 buah daerah sebagai sumber rujukan di daerah tersebut.