TELUK INTAN: Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang bermula Selasa lalu membawa rahmat kepada penduduk daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Azhar Ahmad berkata, selain dapat mengemukakan permasalah penduduk setempat, mereka juga dapat bersua muka dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang banyak membawa program pembangunan di daerah berkenaan.
Beliau memberi contoh, projek membaiki kira-kira 150 buah rumah warga miskin, kemudahan awam, pendawaian semula elektrik beberapa rumah asnaf, projek rumah baharu dan pemasangan lampu jalan.
Malah, kata beliau, daripada keseluruhan 500 lampu jalan yang diluluskan di Teluk Intan, Kampung Bahagian sahaja menerima 50.
“Program ini telah membawa rahmat kepada penduduk Teluk Intan dan saya sendiri begitu teruja apabila program permukinan di laksanakan di daerah ini,” katanya kepada berucap pada majlis pelancaran Kempen Jom Solat Subuh Berjemaah dan Fit Masjid di Masjid As-Saadah, Kampung Bahagia, dekat sini pada pagi Jumaat.
Pelancaran kempen disempurnakan sendiri Dr Zambry dengan disaksikan beberapa anggota Exco kerajaan negeri.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan banner kempen kepada wakil beberapa buah masjid di Teluk Intan.