IPOH: Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak (JPSPk) merupakan salah satu kaedah jangka panjang kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan kes jenayah syariah secara efisien dan adil.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, ianya merupakan sebahagian daripada pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang kini ditadbir secara bersendirian sejak 1 Januari tahun ini.
Jelasnya, jabatan berkenaan merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk melicinkan proses pendakwaan kes-kes jenayah syariah secara professional dan adil dan kini diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie.
Tambah Drs Nizar, kelebihan dalam jabatan itu adalah semua keputusan adalah berlandaskan hukum syara’ dan undang-undang, khusus mempertingkatkan sistem pengurusan kes jenayah secara sistematik dan efisyen.
“Kerajaan negeri percaya bahawa sistem perundangan merupakan antara medium terbaik dalam menyelesaikan pertikaian justeru, dalam usaha mempercepatkan penyelesaian kes-kes di mahkamah syariah, kaedah-kaedah sulh atau perdamaian telah diperkenalkan dan dilaksanakan ke atas kes-kes Mal (Tuntutan Harta) yang didaftarkan.
“Melalui proses sulh ini kes-kes dapat diselesaikan dengan cepat dan memberi kepuasan terhadap kedua belah pihak yang bersengketa berkonsepkan redha-meredhai, malah tempoh penyelesaian persengketaan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika penggulungan bagi portfolio beliau dalam Sidang DUN pada Isnin.
Tambah Drs Nizar, berdasarkan statistik tahun 2016 sebanyak 65% kes dapat diselesaikan melalui proses sulh dan buat masa ini mahkamah syariah sedang giat memberikan penerangan kepada masyarakat tentang kelebihan proses sulh (perdamaian).