KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta segera membantu pengusaha kantin sekolah serta bas sekolah dan persiaran yang berdepan tindakan termasuk diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman selepas terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata penularan wabak ditambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memburukkan lagi keadaan pengusaha berkenaan.
“Penutupan semua sekolah di seluruh negara dan halangan rentas negeri menjejaskan pengusaha bas sekolah serta pengusaha kantin di sekolah.
“Malah, golongan pengusaha ini masih perlu membayar komitmen masing-masing sebagai contoh, pengusaha bas sekolah dan bas persiaran hilang punca pendapatan tetapi pada masa sama perlu membayar kos penyelenggaraan, insurans jalan dan sebagainya.
Lebih menyedihkan dan membimbangkan, beliau berkata, segelintir pengusaha terbabit berusaha 50 tahun ke atas, berdepan tindakan muflis serta risiko kenderaan mereka ditarik pihak bank akibat kemerosotan pendapatan.
“Saya memohon kepada kerajaan supaya mengambil kira (penderitaan) mereka ini,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2021 di dewan rakyat hari ini.