29 OKT: Isu pembatalan projek masjid oleh kerajaan PH terus menjadi topik hangat pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat.
Jika minggu lalu Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong membangkitkan isu pembatalan projek pembinaan masjid di kawasan Parlimennya, hari ini ia dibangkitkan sekali lagi oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad.
Noraini ingin meminta penjelasan daripada pihak kerajaan PH sebab dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembatalan projek pembianaan masjid di kawasannya, Parit Sulong.
Di kawasan saya ada empat projek masjid terbatal. Dosa tau batalkan projek masjid. Masjid ini untuk orang-orang Islam dan bila mereka berdoa, mungkin mereka berdoa agar kerajaan PH ini kekal.
“Tapi empat masjis dibatalkan, saya nak minta penjelasan kerajaan PH. Di kawasan saya terdapat 100 buah masjid, tidak termasuk surau. Mereka semua nak doakan, jadi kena betulkan balik masjid di Kampung Air Putih Mukim 18, Masjid Jamek Parit Betong Mukim 4, Masjid Jamek Nurul Huda Mukim 2 dan Masjid Parit Semis Mukim 18, Seri Medan.
“Saya nak tahu siapa yang batalkan, kenapa dibatalkan,” katanya.
Tindakan Ka Siong mempertahankan pembinaan masjid itu mendapat pujian netizen kerana walaupun bukan beragama Islam, namun calon Presiden MCA itu tetap komited agar pembinaan tersebut diteruskan.
“Berkaitan umat Islam di kawasan saya, saya rasa sedih, walaupun saya bukan beragama Islam macam mana projek pembinaan dua buah masjid di Kampung Parit Awang dan Kampung Parit Haji Ali diluluskan kerajaan dahulu tapi tak dibuat.
“Saya rasa berdosalah kalau perkara ini dibuat. Masjid ini untuk umat Islam, saya terpanggil untuk sampaikan, tolonglah… Kalau sebab nak menghukum BN menang di kawasan itu, jangan sampaikan kita memangsakan pengundi, berdosa tau!,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata langkah mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam perlu dimulakan oleh agensi di bawah kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohd. Nizar berkata, tindakan mereformasi tadbir urus SPRM perlu dilakukan bagi mengelak agensi kerajaan itu tidak dilihat sebagai entiti yang dipengaruhi unsur politik dalam setiap keputusan dibuat.
“Cadangan bagi tonggal pertama Kajian Separuh Penggal RMK11 ini perlu dimulakan oleh agensi kerajaan seperti SPRM, untuk menjamin ketelusan sebuah perkara atau isu yang berbangkit.
“Saya tidak menolak ketegasan SPRM dalam menjalankan tanggungjawab, tetapi turut mengharapkan SPRM tidak dipengaruhi unsur politik seperti yang berlaku sekarang ini.
“Rakyat mempertikaikan tindakan SPRM yang membuat tuduhan terlebih dahulu, tangkap dan mendakwa individu ke mahkamah sebelum membuat siasatan yang secara tidak langsung boleh dilihat seperti mempunyai campur tangan politik tertentu,” katanya. – Oleh MAHIRAH ZAKARIA