IPOH: Pusat pengajian agama di negeri ini diminta mematuhi prosedur keselamatan sekiranya mahu membuat pendawaian semula bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dalam masa yang sama, pihak pengurusan, khususnya di pusat pengajian yang telah lama, mesti melakukan pemeriksaan pendawaian secara berkala.
Menurut beliau, walaupun ia suatu kemalangan, tetapi ia mungkin dapat dielak atau dikurangkan risikonya dengan pemantauan berterusan.
“Baik ia sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama negeri, maahad tahfiz atau pondok, kerajaan negeri sangat berharap agar mereka menitikberatkan faktor keselamatan,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.
Beliau mengulas kejadian kebakaran Pondok Latifiah (Pondok Pak Teh) di Pengkalan Hulu dan SM Maahad Al-Islah di Teluk Intan pada Ahad lalu.
Drs Nizar berkata, kejadian kemalangan di institusi pengajian agama di negeri ini masih dalam keadaan terkawal, ekoran peringatan berterusan yang diberikan oleh pihak berkenaan, termasuk lawatan berkala yang dilakukan nazir sekolah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan melakukan kutipan tabung Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri dua minggu ini untuk disumbangkan kepada dua pusat pengajian yang terbakar itu.
“Insya Allah, kerajaan negeri juga akan membantu untuk meringankan beban pihak pengurusan pusat-pusat pengajian itu,” tambahnya.
Dalam masa sama, Drs Nizar mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan daripada kejadian tersebut.
“Jika hendak memberi sumbangan, dapatkan maklumat yang betul atau terus memberi sumbangan kepada pihak pengurusan pondok atau maahad berkenaan,” ujarnya.