26 JULAI : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sentiasa bekerjasama dan telah pun mengemukakan pandangan kepada Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi merangka langkah-langkah yang boleh diambil bagi penguatkuasaan yang teratur dan berkesan untuk mengelakkan penipuan perkhidmatan badal haji.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukry berkata, pada masa ini, MOTAC tidak mempunya kuasa untuk mengawal selia terhadap harga untuk Badal Haji ini memandangkan urusan haji bagi jemaah dari Malaysia adalah di bawah bidang kuasa dan seliaan TH serta JAWHAR sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Untuk pakej umrah, MOTAC ada mengeluarkan harga rujukan berdasarkan ciri-ciri tertentu pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan seperti tempoh perjalanan, jarak hotel dengan masjid, taraf hotel, kelas penerbangan dan sebagainya.

“Ini kerana pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan ini adalah bagi perkhidmatan di bawah seliaan MOTAC.

“Tetapi, Badal Haji ini adalah berbeza. Oleh itu, saya rasa pertanyaan Yang Berhormat ini lebih sesuai diberi maklum balas oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana syarat-syarat terperinci mengenai Badal Haji adalah diketahui oleh agensi di bawah seliaan beliau.

“Akan tetapi, peringatan dan kesedaran terhadap faktor-faktor ini sentiasa diwar-warkan oleh agensi-agensi Kerajaan, termasuk MOTAC,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Bagaimanapun menurut Nancy lagi, jika penipuan itu dilakukan oleh syarikat yang berlesen dengan MOTAC, kementerian boleh menggunakan kuasa yang ada

di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat terbabit.

“Tetapi sekiranya perkhidmatan itu ditawarkan oleh syarikat pengendalian

pelancongan yang tidak berlesen dengan MOTAC, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 5(2), Akta yang sama,” ujarnya lagi.

Nancy turut menjelaskan, sekiranya penipuan tersebut dilakukan oleh individu, pihak terkesan boleh membuat laporan polis agar siasatan boleh dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada masa yang sama, bagi pemulangan wang, ia perlu dilaporkan kepada kepada pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan ‘award’ atau bayaran ganti rugi,” katanya.