SERI ISKANDAR: Lembaga Tabung Haji berjaya merangkul johan keseluruhan dalam program Karnival Ibn ‘Auf peringkat Kebangsaan yang julang-julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Manakala bagi Majlis Tilawah Al-Quran Syarikat-syarikat Korporat Malaysia,Ahmad Saufi Idris mewakili Telekom Malaysia Berhad berjaya memenangi tempat pertama sekaligus berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, pakej umrah tajaan Tabung Haji berserta sijil penghargaan.
Manakala bagi Qariah pula, johan dimenangi oleh Lembaga Tabung Haji yang diwakili oleh Farra Liza Mohd Musa.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Karnival tersebut berlangsung di Dewan Canselor, Kompleks Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) bermula pada 19 sehingga 21 November bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Syarikat-syarikat Korporat Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-2.
Menurut Ahmad Saufi, dua minggu dimanfaatkan oleh beliau bagi membuat latihan dan persiapan untuk bertanding dalam pertandingan tilawah yang disertai buat pertama kalinya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dan Insyallah akan bertanding lagi jika diberi kesempatan dan peluang,” katanya.
Sementara itu menurut johan Qariah, penglibatan dalam pertandingan Tilawah sebelum ini memudahkan beliau mempersiapkan diri bagi penyertai pertandingan kali ini.
“Saya pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Tilawah peringkat Negeri Sarawak pada tahun 2012,” katanya.
Jelas Farra ayahnya sendiri merupakan guru utama yang mengajarnya pembacaan Al-quran sehingga kini.
Seramai 22 orang yang terdiri daripada 14 Qari dan 8 Qariah memperdengarkan bacaan masing-masing semalam.
Antara syarikat-syarikat yang terlibat pada pertandingan kali ini seperti Petronas, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Lembaga Tabung Haji.
Pelbagai program telah disusun dan berlansung antaranya kiosks Ilmu, seminar Warisan Ibnu’ Auf dan ruang pameran oleh setiap syarikat yang menyertainya.
Penganjuran karnival Ibn Auf bertujuan bagi menyatukan syarikat-syarikat korporat yang menganggotai Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jakim dalam misi melaksanakan gerak kerja dakwah selain mengerat jalinan kerjasama yang terjalin.