IPOH: Lebih 1,000 imam, bilal, siak dan guru KAFA seluruh Perak hadir pada Majlis Ihya’ Ramadan di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Rabu.
Majlis bermula dengan bacaan tahlil diikuti majlis berbuka puasa, solat Maghrib, jamuan makan, solat Isyak dan Terawih yang dipimpin oleh Sheikh Usama Mohamad Iqbal dari Masjidil Haram, Mekah.
Majlis berakhir dengan jamuan moreh di mana Dr Zambry berbual mesra meraikan para tetamu berkenaan.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Terdahulu sebaik selesai solat Terawih, Dr Zambry dalam ucapan ringkasnya menganggap majlis Ihya’ Ramadan yang diadakan di kediamannya pada setiap tahun berjaya merapatkan saf dan barisan ke arah memantapkan penyatuan ummah.
Sementara itu berapa orang imam dan bilal masjid yang ditemui menganggap majlis Ihya’ Ramadan yang diadakan setiap tahun di kediaman Menteri Besar sebagai amat berguna kerana ia diisi dengan tazkirah yang dapat menambah ilmu agama kepada para Jemaah yang hadir.
“Selain menambah ilmu, majlis ini dapat mengeratkan lagi silatulrahim semasa jemaah dengan Menteri Besar,’’ kata Zulfata Abu Zahan, bilal Masjid Tanjung Rambutan.