SERI ISKANDAR – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) akan terus meningkatkan pemahaman pembahagian harta pusaka dan faraid kepada masyarakat melalui pelbagai program ceramah dan kursus dianjurkan.
Exco kerajaan negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, masyarakat harus memahami dan mempelajari perkara itu supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan atau pergaduhan melibatkan pembahagian harta pusaka.
Menurutnya, guru agama atau penceramah bertauliah harus memainkan peranan menyebarkan perkara itu bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu sepatutnya.
“Kita memang galakkan ceramah atau kursus melibatkan pembahagian harta atau faraid ini kerana pasti semua orang akan melaluinya.
“Jika mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup pasti berlaku kekeliruan dan seterusnya membawa kepada pergaduhan dalam keluarga,” katanya ketika Seminar Asas Pembahagian Harta Pusaka dan Faraid di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, semalam.
Mohd Nizar berkata, masyarakat juga boleh merujuk pihak tertentu termasuk Mahkamah Syariah bagi mendapat penjelasan lanjut berkenaan perkara itu.
“Mahkamah Syariah akan membantu memberikan penjelasan tepat berkenaan pembahagian harta jika ada pihak yang mempunyai kekeliruan dalam perkara ini.
“Kita tidak mahu timbulnya sebarang isu melibatkan perkara ini kerana sudah ada agensi atau badan tertentu yang boleh membantu mengikut bidang tugas masing-masing,” katanya.
Seminar itu disampaikan Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Zaihasif Zainal Rashid.
Zaihasif berkata, masyarakat harus memahami dengan lebih mendalam tentang pembahagian harta pusaka dan faraid bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit timbul.
“Masyarakat seharusnya mendapatkan maklumat tepat dan terperinci kerana akan wujud masalah apabila mereka tidak memahami perkara ini dengan lebih jelas.
“Isu berkaitan pembahagian harta pusaka dan faraid ini dilihat bukan sekadar isu setempat tapi berlaku di seluruh negeri dan seharusnya mereka mempunyai tempat untuk merujuk perkara ini secara lebih jelas,” katanya.