PARIT, 22 Ogos — Semua kerajaan negeri disaran menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2021 kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menjalankan Program Subsidi Mamogram dan Saringan Kanser Serviks secara percuma kepada masyarakat.
Pengerusi LPPKN Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata peruntukan tersebut penting bagi memastikan masyarakat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), dapat menjalani pemeriksaan kesihatan dalam usaha pengesanan awal kanser tanpa perlu membayar harga mahal di pusat kesihatan swasta.
Katanya sehingga kini, hanya beberapa negeri termasuk Perak telah menyediakan peruntukan tersebut bagi membolehkan LPPKN menjalankan program pemeriksaan di beberapa kawasan termasuk kawasan yang sukar mendapat akses saringan kesihatan yang baik.
“Kalau boleh dalam Belanjawan 2021 nanti, negeri yang belum memasukkan peruntukan khas untuk ujian memogram dan kanser serviks atau program lain di bawah LPPKN, boleh menyediakan peruntukan dan kita sedia menerima dan membuat lebih banyak lagi program bantuan.
“Saya ucapkan tahniah kepada Perak yang memberikan peruntukan kepada LPPKN supaya masyarakat diberi subsidi secara percuma,” katanya kepada pemberita pada Program Subsidi Mamogram dan Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Dewan Serbaguna Kampung Tua, di sini hari ini.
Mengenai program hari ini, Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit berkata ia membolehkan golongan wanita menjalani pemeriksaan secara percuma dan sebarang pengesanan awal atau golongan berisiko akan dirujuk di klinik panel atau hospital untuk tindakan segera.
Beliau berkata seramai 4,000 wanita di Perak akan mendapatkan pemeriksaan di bawah program LPPKN tersebut sepanjang tahun ini.
“Ini adalah kali ketiga Program Subsidi Mamogram dan Saringan Kanser Serviks diadakan di Perak selepas di Larut Matang, Selama dan Ipoh.
“Selepas ini, kita akan bergerak mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi pendidikan kepada golongan wanita betapa pentingnya untuk mereka membuat pengesanan awal terhadap penyakit berisiko ini,” katanya.
— BERNAMA