IPOH: Tanggungjawab menjaga kebersihan kemudahan awam di masjid dan surau tidak hanya terletak di bahu jawatankuasanya, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh masyarakat Islam khususnya dan setiap anggota masyarakat amnya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, tandas tidak boleh dibiar berdaki dan kotor kerana sifatnya yang sedemikian merupakan realiti kehidupan dan masyarakat perlu menjaganya.

“Realiti kotor inilah perlu kita mengajak masyarakat terutama umat Islam untuk menjaga dalam bentuk mengamalkan penjagaan kebersihan tandas; jangan kita tertumpu kepada siak sahaja (untuk membersihkannya) tetapi (semua) perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Konvensyen Hammam 2017 sempena Temasya Idea Perak 2017 di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mempunyai SOP mengenai kebersihan tandas dan telah melancarkan buku garis panduan penarafan bilik air dan tempat wudhu’ masjid dan surau di Perak sebagai terma rujukan.

“Bukan di masjid dan surau sahaja tetapi boleh ia juga digunakan di tempat-tempat lain, melalui program Hammam ini, kita hiaskan, landskapkan kebersihannya dan susun atur selain wangi-wangian.

“Kalau setiap orang ada nilai-nilai tanggungjawab, amanah dan ikhlas maka penjagaan tandas daripada sudut kebersihan akan jadi satu amalan,” ujarnya.

Katanya, jika masih ada sikap harap-mengharap atau acuh tak acuh di kalangan anggota masyarakat, maka adalah sukar untuk merealisasi kebersihan sepertimana digariskan dalam Modul Pembersihan Hammam.

Mohd Nizar berkata, modul tersebut yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Mei tahun lalu membuktikan bahawa kerajaan negeri serius dalam melaksanakan transformasi terhadap penjagaan kebersihan bilik air masjid dan surau.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Yusop Husin berkata, sebanyak 156 masjid di seluruh negeri ini akan dinilai daripada aspek kebersihan melalui Garis Panduan Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk.

Katanya, keputusan penilaian berbentuk penarafan bintang itu akan diumumkan penghujung tahun ini.