Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu harus diserahkan kepada presiden kedua-dua parti untuk membincangkannya.

Mohamad yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat membincangkan perkara tersebut dengan baik.

“Jangan bincang soal kerusi awal, fasal kerusi kita serah pada presiden kedua-dua parti. Jangan cepat sangat mengatakan ini hak kau, ini hak aku, tak boleh macam itu.

“Ini bukan cerita P. Ramlee. Kalau cerita P. Ramlee bolehlah, satu untuk engkau, dua untuk aku. Biar mereka (Ahmad Zahid dan Abdul Hadi) berunding, pandailah mereka berunding nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Bota Kanan dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Nizar Zakaria.

Dalam masa sama, kata Mohamad, ahli-ahli kedua-dua parti sebagai jentera atau tentera mesti ada perasaan tolak ansur.

“Dalam perjuangan mesti ada tolak ansur, jangan kita nak menang saja,” katanya.

Mengenai piagam UMNO dan Pas yang akan dilancarkan pada 4 September nanti, Mohamad berkata, ia merupakan rangka gerak kerja atau tata kelola kedua-dua parti untuk menjayakan agenda penyatuan ummah.

“Selepas piagam tersebut ditandatangi, kita akan buat road show di setiap negeri secara besar-besaran.

“Kemuncaknya kita akan buat perhimpunan ummah tapi lokasinya belum tahu. Pada majlis itu kedua-dua presiden akan mengisytiharkan satu manifesto yang akan menjadi tagline baharu, tapi saya tak mahu sebut, biar presiden kedua-dua parti yang mengisytiharkannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE