BOTA:Rakyat tidak akan terpengaruh dengan tuduhan saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat kerana ia merupakan suatu dakwaan yang tidak mempunyai asas yang kukuh.
Ahli Parlimen Parit, Datuk Haji Mohd Zaim Haji Abu Hassan berkata semakin hari rakyat semakin sedar bahawa segala tuduhan oleh DoJ tidak mempunyai asas yang kukuh.
Justeru beliau yakin bahawa rakyat tidak akan berminat dengan perkara-perkara berkenaan sebaliknya lebih memberi fokus kepada sesuatu yang lebih berasas.
“Bagi saya rakyat bijak dan hanya akan berpijak di bumi nyata dan masalah (isu dakwaan oleh) DoJ ini merupakan sesuatu dakawaan yang ‘terawang-awang’”, katanya.
Tambah beliau, DoJ sepatutnya tidak campur tangan dengan hal-hal yang melibatkan Malaysia.
“Saya menentang campur tangan pihak DoJ dalam urusan negera kita, biar kita yang menguruskannya melalui sistem perundangan negara kita.
“Dakwaan mereka tu hanya dalam bentuk umum dan tuduhan itu sama sekali tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Saya juga memuji pandangan mufti-mufti seperti di Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan sebagainya, yang tak menyokong campur tangan luar negara terhadap urusan negara kita”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri 2017 di Perkarangan Surau Asliah, Kampung Aji Bota Kiri, Bota yang dihadiri kira-kita 500 orang.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.
Nizar berkata majlis sambutan aidilfitri pada kali ini menampilkan kelainan kerana ia diadakan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kalau dahulu kita buat secara berpusat sama ada di Parit atau di Bota tapi kali ini kita buat mengikut PDM supaya lebih mudah untuk kita mendekati rakyat dan pada masa sama rakyat dapat berjumpa terus dengan wakil rakyat dalam menyuarakan sebarang pandangan dan masalah mereka”, katanya.
Tambah Nizar majlis ini juga merupakan sebahagian dari program turun padang secara berterusan oleh Barisan Nasional Parlimen Parit, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Belanja dan sekitar.