SEBERANG MANONG: Ketika kempen PRK Kuala Kangsar rancak berjalan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Seberang Manong mengambil kesempatan mengadakan program gunting rambut percuma untuk penduduk sekitar.
ADUN Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, program gunting rambut itu diadakan dua hari, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan penduduk kampung, terutama kanak-kanak bersekolah membuat persediaan sesi persekolahan bermula Isnin.
Menurut beliau, UMNO Bahagian Parit yang menjadi bahagian angkat kepada dua PDM – Seberang Manong dan Senggang – telah menyusun pelbagai program sehingga 18 Jun nanti.
“Masyarkat di sini tidak ada masalah dan mereka juga mempunyai hubungan yang erat, namun atas kapasiti PRK, kita terus mendekati mereka dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti gunting rambut percuma dan memasak bubur lambuk,” katanya kepada Suara Perak pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri turut kecewa kerana terdapat penceramah pembangkang yang caci mencaci semasa berkempen di bulan Ramadan yang mulia ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat Kuala Kangsar supaya meneliti terlebih dahulu segala maklumat yang disampaikan oleh orang yang tidak dikenali, lebih-lebih lagi yang boleh mengelirukan.