TELUK INTAN:Program gabungan berunsurkan keagamaan dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan penyertaan daripada golongan muda terutamanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penganjuran program seperti Fit Masjid memberi perspektif kepada umum bahawa ia tidak tertumpu pada satu aspek kerohanian semata.
“Ia satu perspektif menyeluruh dimana bukan sahaja menekankan pada kerohanian sahaja tetapi meliputi aspek kesihatan dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu sidang media Karnival Mahabbah bersama Institusi Agama Islam negeri Perak di Daerah Hilir Perak sempena Permukiman Menteri Besar yang masuk hari keempat hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Malah jelasnya, program yang menggabungkan semua aspek itu perlu dilaksanakan supaya kehidupan golongan muda lebih seimbang.
“Ia juga bagi mengelak dari terjadinya unsur ekstremisme yang boleh menjerumuskan golongan muda kearah gejala yang tidak baik,” katanya.
Katanya, kecenderungan generasi muda terhadap program berbentuk keagamaan dilihat semakin baik.
“Bagi hari keempat ini, ada pertambahan program dalam siri permukiman kali ini dimana ia mendapat sambutan yang baik dan bagi program hari Jumaat ia berkaitan sektor agama di beberapa kawasan disini.
“Bermula seawal jam empat pagi kami menunaikan solat subuh dan mengadakan program Fit Masjid yang dihadiri oleh lebih 1000 anak muda dan pelajar sekolah, ia satu sambutan yang baik,” katanya.