IPOH: Yayasan Perak mahu menjadikan Festival Huffaz yang julung-julung kali diadakan tahun ini, dijadikan acara tahunan, sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan bidang pendidikan agama di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff berkata, penganjuran itu juga antara lain untuk memartabatkan para huffaz di negeri ini melalui persaingan yang sihat, dalam bentuk pertandingan dengan penglibatan semua maahad tahfiz di Perak.
Selain itu, kata beliau, festival itu juga bertujuan menunjukkan rasa hormat kepada golongan itu dan pelajar aliran agama di samping menyampaikan galakan, sumbangan serta penghargaan.
“Para pemenang akan diraikan di dalam satu majlis khas, Anugerah Huffaz Yayasan Perak bersempena Majlis Apresiasi dan Inspirasi Kecemerlangan 2017 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 13 November ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pertandingan Hafazan Al-Quran dan Nasyid Bahasa Arab sempena Festival Huffaz Yayasan Perak di INTIM di sini pada Khamis.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan turut dihadiri Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, Pengurus Besar Yayasan Perak, Aida Hazlyn Hassan dan Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Perak, Roslan Abu Hassan.
Seramai 64 peserta mengambil bahagian di dalam hafazan Al-Quran manakala 12 kumpulan mengambil bahagian di dalam pertandingan nasyid Bahasa Arab.
Mohamad Daud memberitahu, bagi menghargai peserta hafazan, pihaknya menyediakan hadiah-hadiah yang cukup lumayan iaitu:-
i. Tiga pelajar terbaik (lelaki dan perempuan) yang menghafal juzuk 1 – 30 akan menerima RM2,000.
ii. Tiga pelajar terbaik (lelaki dan perempuan) yang menghafal juzuk 1 – 20 akan menerima RM1,000.
iii. Tiga pelajar terbaik (lelaki dan perempuan) yang menghafal juzuk 1 – 10 akan menerima RM700.
iv. Enam pelajar (lelaki dan perempuan) yang menengani pertandingan hafazan juzuk 1 – 30 juga berpeluang untuk menerima Anugerah Khas Hafazan berjumlah RM3,000.
Selain itu, katanya, Yayasan Perak juga akan memberi beberapa anugerah khas seperti Pengurusan Sekolah Tahfiz Terbaik, Tokoh Guru dan Pengetua di samping insentif khas tamat hafazan 30 juzuk kepada 26 penerima.