SHAH ALAM: Aplikasi pendaftaran penceraian atas talian yang diperkenalkan di Perak bukan untuk menggalakkan penceraian seperti yang difahami sesetengah pihak, jelas Exco negeri itu, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria.
Menjelaskan kekeliruan tersebut, Mohd Nizar berkata, pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga tetap perlu menjalani prosedur biasa sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).
Aplikasi yang dikenali sebagai MySolve itu hanya akan digunakan selepas pasangan suami isteri itu tetap gagal mempertahankan rumahtangga mereka biarpun melalui beberapa kali proses kaunseling yang dijalankan Jaipk, jelas Nizar.
“MySolve ini adalah aplikasi untuk urusan pendaftaran penceraian.
“Sedikit pun tidak ada sebarang isu, sebab pasangan ini akan mengikut prosedur seperti biasa di pejabat agama, melalui proses kaunseling yang akan dilakukan,” katanya kepada Antarapos.
Nizar yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri itu berkata dengan adanya MySolve, ia akan mempercepatkan dan mempermudahkan pendaftaran penceraian berbanding kaedah manual yang menuntut tempoh masa yang lebih lama sebelum ini.
Tambah ADUN Belanja itu, secara tidak langsung MySolve dapat menjimatkan masa dan kos, malah maklum balas berkaitan permohonan juga akan dapat diketahui dalam tempoh masa yang lebih singkat.
“Sebelum ini pasangan kene telefon, kena hadir…mungkin banyak masalah. Jadi kita mahu memudahkan urusan, dan teknologi itu telah pun sedia ada, kita manfaatkanlah,” katanya lagi.
Pengenalan aplikasi itu menjadikan Perak sebagai negeri pertama yang memperkenalkan aplikasi sedemikian.
Ia dibangunkan Jabatan Kehakiman Syariah Perak (JKSPk) dan K Perak Inc Corporation, yang boleh diakses menerusi mysolve.perak.gov.my.
Sistem itu kini sudah diperluaskan ke seluruh daerah di Perak selepas tempoh percubaannya Januari lalu.
Pasangan yang menggunakan aplikasi itu akan dikenakan bayaran pendaftaran permohonan perceraian sebanyak RM50.
Of switched here course, how much a school or school-related organization makes varies widely