Pusat Remaja Kafeteen LPPKN Salur Kit Kebersihan Asas Kepada Remaja Perempuan

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan menyambut baik pengumuman Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2022 mengenai insiatif pemberian Kit Kebersihan Asas kepada remaja perempuan dalam kalangan B40 seluruh Malaysia yang akan diterajui oleh LPPKN.

Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pemberian kit kebersihan diri ini akan mampu membantu golongan wanita terutamanya remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.

Beliau berkata, pemberian ini juga adalah sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita terutama yang memerlukan ketika negara berada dalam fasa pemulihan.

Pusat Remaja Kafeteen LPPKN di seluruh negara akan bertindak sebagai penyelaras bagi mengadakan program dan aktiviti pemberian kit berkenaan. Sebagai nilai tambah, setiap penerima akan mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian dikendalikan oleh Pembimbing Remaja KafeTEEN.

Mereka juga akan didaftarkan sebagai ahli baru Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan dan bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

“Saya berharap dengan pemberian Kit Kebersihan Asas ini akan dapat menyumbang kepada outcome iaitu (i) untuk meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah; (ii) meningkatkan kesedaran dan memperkasa remaja tentang kepentingan penjagaan kebersihan peribadi dan kesihatan reproduktif; (iii) mengurangkan keciciran pelajar ke sekolah akibat impak negatif kemiskinan haid terhadap remaja perempuan terutamanya tekanan mental; (iv) Meningkatkan taraf kesihatan dan jati diri remaja perempuan menghadapi cabaran masa kini,” katanya.

Projek pemberian kit ini juga akan membangunkan pangkalan data bagi tujuan pengumpulan data tentang golongan remaja perempuan di lokaliti bersasar.

“Harapan saya sebagai Pengerusi LPPKN agar pelaksanaan program ini dapat memberikan manfaat khususnya kepada remaja perempuan dalam kalangan B40 di seluruh Malaysia dan isu kemiskinan haid ini dapat diatasi sebaiknya,” katanya.

Remaja Perempuan B40 Diberi Pendidikan Kesihatan Reproduktif

3 NOV: Para remaja perempuan daripada keluarga berpendapatan rendah B40 yang terlibat dengan insiatif pemberian Kit Kebersihan Asas berpeluang mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, program tambahan itu akan dikendalikan oleh Pembimbing Remaja KafeTEEN dan mereka juga akan didaftarkan sebagai ahli baharu Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan serta bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

“Pemberian kit kebersihan diri ini akan mampu membantu golongan wanita terutamanya remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.

“Ia juga sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita terutama yang memerlukan ketika negara berada dalam fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Pada bajet lalu, kerajaan memperuntukkan 130,000 kit setiap bulan kepada penerima kit asas kebersihan diri seperti tuala wanita bagi remaja perempuan B40 secara percuma.

Ia membabitkan 1.56 juta kit dalam tempoh setahun dengan nilai lebih RM6.24 juta.

Malaysia tidak mampu lagi terima pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia yang kini melebihi 200,000 orang menyebabkan negara tidak lagi mampu menampung kehadiran lebih ramai pelarian berkenaan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Kamarudin Jaffar, berkata ini juga berikutan kegagalan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, berkongsi beban dan tanggungjawab untuk menerima atau penempatan semula pelarian berkenaan

Katanya, sepanjang 18 tahun lalu, iaitu antara 2003 hingga 2021, hanya 8,312 pelarian Rohingya di negara ini ditempatkan di 10 negara lain.

“Paling ramai pelarian Rohingya dihantar ke Amerika Syarikat, iaitu kira-kira 7,000 orang dan paling sedikit di Finland, iaitu hanya seorang,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) dan Dato’ Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin berkata, isu Rohingya turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Hishammuddin Hussein, ketika mesyuarat-mesyuarat ASEAN berkaitan, termasuk ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 antara 26 hingga 28 Oktober lalu.

Katanya, Malaysia tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA).

Menurutnya, ini untuk memastikan proses repatriasi pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah serta mengurangkan jumlah pelarian yang membuat perjalanan lanjutan ke Malaysia.

“Isu penempatan pelarian Rohingya ke negara ketiga, sering diketengahkan oleh kerajaan dalam perbincangan dengan negara asing dan platform antarabangsa.

“Malaysia sentiasa menggesa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarían (UNHCR) bekerjasama untuk mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Mengulas taraf kewarganegaraan Rohingya, katanya kerajaan Myanmar pada 1982 telah meluluskan Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 yang mengecualikan etnik Rohingya daripada senarai etnik bertaraf warga Myanmar.

Sehubungan itu, katanya Malaysia akan terus memastikan bahawa penyelesaian isu Rohingya meliputi pengiktirafan mereka sebagai warga negara itu.

“Malaysia sentiasa menyokong usaha-usaha antarabangsa bagi memastikan kebertanggungjawaban ke atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah kemanusiaan yang berlaku ke atas etnik Rohingya.

“Sebagai contoh, Malaysia menyokong resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MHAM PBB) yang menubuhkan satu mekanisme yang dinamakan Independent Investigative Mechanism for Myanmar (IIMM) bagi mengumpul bukti pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/21

(PARLIMEN) Kerajaan runding dengan UNHCR selesai isu pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Isu penghantaran lebih 200,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke negara dunia ketiga sedang dirunding dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, tindakan tersebut adalah perlu kerana Malaysia menanggung terlalu ramai pelarian dari negara asing terutama pelarian Rohingya dari Myanmar.

“Malaysia sudah menanggung terlalu ramai pelarian Rohingya dari Myanmar yang kini dianggarkan sudah melebihi 200,000 orang

“Justeru, kita melakukan pelbagai usaha dan libaturus dengan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967 supaya menerima lebih ramai pelarian Rohingya kerana hasilnya ketika ini amat kecil.

“Malah, saya boleh sebutkan di sini, 18 tahun lalu atau sejak 2003 hingga 2021 Malaysia hanya mampu menghantar seramai 8,312 pelarian Rohingya ke 10 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jepun dan sebagainya. Negara paling ramai menerima pelarian berkenaan ialah Amerika Syarikat iaitu lebih 7,000 pelarian Rohingya, manakala paling sedikit ialah Finland iaitu seorang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) meminta Menteri Luar Negeri memberikan penjelaskan mengenai usaha tuntas yang dilaksanakan oleh kementerian bersama negara-negara ASEAN bagi menyelesaikan isu Rohingya.

Kamaruddin dalam masa yang sama berkata, Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dan libat urus dengan UNHCR dan negara di seluruh dunia khususnya ASEAN bagi menyelesaikan isu kebanjiran pelarian Rohingya terbabit. – UTUSAN ONLINE

Malaysia Mohon Bantuan Antarabangsa Isu Pelarian Rohingya

3 NOV: Kerajaan sedang berunding dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menyelesaikan isu penghantaran lebih 200,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke negara dunia ketiga.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata tindakan itu perlu kerana Malaysia kini terpaksa menanggung terlalu ramai pelarian dari negara asing terutama pelarian Rohingya dari Myanmar.

“Malaysia sudah menanggung terlalu ramai pelarian Rohingya dari Myanmar yang kini dianggarkan sudah melebihi 200,000 orang.

“Justeru, kita melakukan pelbagai usaha dan libaturus dengan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967 supaya menerima lebih ramai pelarian Rohingya kerana hasilnya ketika ini amat kecil.

“Malah, saya boleh sebutkan di sini, 18 tahun lalu atau sejak 2003 hingga 2021 Malaysia hanya mampu menghantar seramai 8,312 pelarian Rohingya ke 10 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jepun dan sebagainya.

“Negara paling ramai menerima pelarian berkenaan ialah Amerika Syarikat iaitu lebih 7,000 pelarian Rohingya, manakala paling sedikit ialah Finland iaitu hanya seorang,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN-Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria, yang meminta Menteri Luar Negeri memberikan penjelaskan mengenai usaha tuntas yang telah dilaksanakan oleh kementerian bersama negara-negara ASEAN bagi menyelesaikan isu Rohingya.

Mohd Nizar juga meminta Kementerian Luar Negeri (KLN) memberi penjelasan mengenai sejauhmanakah usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi menempatkan pelarian Rohingya di negara ketiga.

Berikutan itu, Kamaruddin berkata Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dan libat urus dengan UNHCR dan negara di seluruh dunia khususnya ASEAN bagi menyelesaikan isu kebanjiran pelarian Rohingya terbabit.    

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata kerajaan sentiasa menggesa UNHCR memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Beliau berkata Wisma Putra juga konsisten mengadakan libat urus bersama UNHCR untuk mencari jalan bagi meningkatkan kadar penempatan semula pelarian Rohingya di negara ketiga.

“Dalam perbincangan dua hala antara Malaysia dan negara-negara yang berkemampuan untuk menerima pelarian Rohingya dari Malaysia, Malaysia sering menekankan isu ini dan berharap agar lebih ramai dapat diterima masuk ke negara-negara berkaitan.

“Dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, Malaysia sering kali menggariskan kepentingan ASEAN menggesa Myanmar menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine.

“Malaysia turut berulang kali menegaskan bahawa negara kita tidak mampu menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya dan menyeru masyarakat antarabangsa tampil membantu mencari jalan penyelesaian yang berkekalan.

“Perkara ini turut dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Negeri semasa mesyuarat-mesyuarat ASEAN berkaitan termasuk semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan 39 yang diadakan pada 26 hingga 28 Oktober yang lalu,” katanya.

47 kes ajaran sesat dilaporkan sejak Januari tahun lalu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 47 kes pemujaan salah atau ajaran sesat dilaporkan di negara ini sejak Januari 2020 hingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 33 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu dan bakinya pada tahun ini.

Katanya, bagi menangani isu penyelewengan akidah dalam kalangan umat Islam itu, beberapa langkah telah dilakukan kerajaan.

“Pertamanya, kita bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Yang kedua, kita mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama dengan kumpulan-kumpulan yang terlibat,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai jumlah laporan berkenaan ajaran sesat sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun 2021 serta usaha berterusan yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran sesat tersebut.

Mengulas lanjut, Idris memberitahu, kerajaan turut melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek tertentu sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

“Jabatan Mutfi di negeri juga mengeluarkan fatwa bagi ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum dan Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat jawatankuasa muzakarah fatwa negeri-negeri.

47 kes ajaran sesat dilaporkan hingga September lalu – Idris

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 kes pemujaan salah yang bertentangan dengan ajaran Islam dilaporkan sejak Januari 2020 hingga September lalu.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, daripada jumlah berkenaan, 33 kes perbuatan ajaran salah itu dilaporkan sepanjang tahun lalu, manakala 14 kes lagi dari Januari hingga September tahun ini.

Justeru, beliau berkata, beberapa langkah bagi mengatasi isu berkaitan penyelewengan akidah umat Islam telah dilakukan termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan berkaitan ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki mengeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, Idris menambah, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan.

“Melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).”Ini termasuk kajian dari sudut kesan dan implikasi apabila sesuatu pandangan hukum mengenai ajaran sesat dikeluarkan.

“Jabatan Mufti di negeri mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa/Muzakarah Fatwa Negeri Negeri,” katanya pada Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanya mengenai jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini serta usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan bagi bagi mencegah penyebaran ajaran sesat.