Mesyuarat Khas Parlimen bincang isu Azam Baki ditangguh atas ‘isu perundangan’

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang dijadualkan pada 19 Januari, ditangguhkan.

Menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, mesyuarat berkenaan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian atas sebab terdapat beberapa isu perundangan yang tidak dijelaskan lanjut.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Parlimen Ke-14 Bil 1 Tahun 2022 yang telah dijadualkan pada Rabu 19 Januari 2022 akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen,” menurut surat tersebut.

Sebelum ini, mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada 19 Januari di bangunan Parlimen.

Ketika ini, Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan dianggotai oleh lapan Ahli Parlimen lain.

Antaranya termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Selain itu, jawatankuasa itu turut dianggotai Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abd Kadir, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera bagi membincangkan isu pemilikan saham itu sama ada sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari depan.

Ia berikutan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu didakwa memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Pembinaan Hospital Seri Iskandar sudah bermula

PARIT: Kerja-kerja pembinaan sebuah hospital baharu di Seri Iskandar di Bandar Universiti di sini sudah bermula sejak bulan lalu. 

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata,  hospital berkapasiti 76 katil itu akan memberi manfaat kepada penduduk di daerah Perak Tengah serta daerah berdekatan.

“Perancangan untuk kita berkehendakkan sebuah hospital baharu di Seri Iskandar menggantikan Hospital Changkat Melintang di dalam kawasan Parlimen Parit dan Daerah Perak Tengah ini telah berjaya. 

“Kerja-kerja projek sudah pun bermula sekitar November lalu yang mana perataan tapak sudah ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Petanque Piala Ahli Parlimen Parit, 2022 di Kampung Pasir Gajah dekat sini hari ini. 

Menurut Mohd. Nizar, meskipun perjuangan untuk memperoleh hospital berkenaan cukup panjang, namun ia berbaloi kerana akhirnya rakyat setempat mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik. 

“Walaupun jumlah katil hanya 76 tetapi kita menerima dengan rasa syukur dan terima kasih kerana perjuangan kita bersama orang kampung dan pemimpin terdahulu akhirnya terlaksana. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah meluluskan pembinaan baharu ini dan kita akan perjuangkan keperluan lain-lain yang diperlukan selepas ini,” katanya.  – UTUSAN

PERTAHAN LOGHAT DAERAH & PERUBATAN NASIONAL DALAM TEATER CICIT WAN LEBO

Kuala Lumpur – Pada mulanya, teater Cicit Wan Lebo dirancang untuk dipentaskan mengikut konsep “teater laman” di Kampung Bota Kiri, Parit, Perak, iaitu teater terbuka berlatarbelakangkan rumah kampung di Bota, Perak.

Menurut Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dato’ Mohd. Nizar Zakaria, Pengarah Cicit Wan Lebo, iaitu Amran Nasrudin telah berbincang dengan beliau kira-kira tiga tahun lalu menerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) untuk mementaskan teater ini mengikut konsep sedemikian.

Bagi Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit, Perak, cadangan tersebut sangat menarik kerana lokasinya di tempat dan kawasan Parlimen beliau sendiri. Skrip yang juga menggunakan loghat Perak Tengah, khususnya loghat Parit, tambah beliau, dapat mengimbau kembali bahasa nenek moyang yang digunakan sebagai bahasa perantara masyarakat tempatan di daerah tersebut.

Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, termasuk kekangan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19, pementasan Cicit Wan Lebo tidak dapat dipentaskan mengikut perancangan.

Begitu pun, Nizar tetap mengucapkan syabas kepada YAVM dan Pengerusinya, Kismah Johar, serta tenaga produksi kerana berjaya mementaskan Cicit Wan Lebo pada 28 hingga 31 Disember 2021 ini dalam kebiasaan baharu dan norma baharu SOP di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), setelah hampir tiga tahun berusaha mendapatkan peruntukan pementasannya.

Selama kira-kira 90 minit durasi pementasan, Cicit Wan Lebo yang berlatarbelakangkan cerita masyarakat di kampung Ekor, Bota pada sekitar 1970-an, membawa kisah seorang wanita bernama Wan Esah atau lebih mesra dipanggil Wan Lebo (lakonan Anne Zahurin), yang terkenal sebagai penglipur lara, serta berbakat dalam seni dan budaya menerusi syair, pantun dan seloka.

Anne Zahurin berjaya membawa watak Wan Esah @ Wan Lebo yang terkenal sebagai penglipur lara, serta berbakat dalam seni dan budaya menerusi syair, pantun dan seloka, selain handal merawat pesakit.

Cicit Wan Lebo turut dijayakan oleh pelakon terkenal drama televisyen, iaitu Lan Zailan sebagai Ngah Meto, Fathil Dani (Lebai Idris), dan Zarina Zainudin (bintang undangan), serta pelakon dan pelukis popular, Imuda.

Para pelakon lain termasuklah Alif Azeman (Kadio), Rose Aida (Rose Ratu Banjar), Raffie (Yeop Tebo), Zuraida (Mak Piah),Azmie Daim (geng Ngah Meto 1), Razif Ajeep (geng Ngah Meto 2), Ewan Deen (Tok Kadi), serta Hazryn dan Syawal (pelajar universiti).

Selain mengangkat loghat masyarakat Parit, dan menarik pelancong, pementasan Cicit Wan Lebo juga bertujuan mengisi tabung YAVM, sekali gus membantu golongan artis veteran yang terkesan akibat COVID-19 menerusi pembelian kupon atau pas masuk RM30 dan RM20 seorang.Buletin JendelaDBPInginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Mesej spam judi, pinjaman tak berlesen: 20,025 talian telefon ditamatkan – KKMM

KUALA LUMPUR: Sejak 2018 sehingga 31 Okt 2021, sejumlah 20,025 talian telefon ditamatkan atas kesalahan mesej spam yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia hasil tindakan pihak kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, SKMM menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah penipuan dan mempromosi judi dalam talian.

“Tindakan pencegahan yang dijalankan oleh kementerian melalui SKMM juga adalah dengan melaksanakan tindakan sekatan akses atas laman sesawang judi dalam talian.

“Bermula 2018 sehingga 31 Oktober 2021, sejumlah 4,799 laman web judi dalam talian telah disekat berdasarkan permohonan rasmi pihak PDRM, atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

“Usaha ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa berdasarkan permohonan daripada PDRM serta maklumat dan aduan yang diterima daripada masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu usaha drastik kementerian bagi mengatasi isu berkenaan mesej ‘spam’ yang mempromosi judi dalam talian.

Mohd Nizar juga mahu tahu sama ada terdapat sebarang penglibatan pengendali syarikat telekomunikasi yang bersekongkol dengan sindiket ini bagi menjual data peribadi pengguna.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), tiada sebarang kes penjualan data peribadi dicatatkan oleh syarikat telekomunikasi.

Justeru, katanya, SKMM akan mempergiatkan program-program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara, serta hebahan media massa bagi memupuk kesedaran orang ramai supaya tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian.

KKMM cadang pinda akta, kawal selia aktiviti judi dalam talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mencadangkan supaya undang-undang dirangka untuk melesen, mengawal selia dan mencukai aktiviti judi dalam talian, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya pindaan bersesuaian dilakukan terhadap Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Ia bagi membolehkan bidang kuasanya diperluaskan kepada aktiviti perjudian dalam talian.

Beliau menjelaskan, pelesenan judi dalam talian bukan sahaja membenarkan kerajaan mengawal selia industri yang biasanya melibatkan laman web yang dihoskan di luar negara, tetapi juga memperoleh cukai daripada urus niaga yang dibuat, sama seperti cara kasino fizikal di Malaysia yang dikenakan cukai.

“Judi dalam negara ini, kita ambil duit rakyat Malaysia… sesiapa main judi dalam Malaysia, duit rakyat Malaysia dan kita cukai.”Tetapi judi dalam talian ini adalah dari luar negara, seperti daripada India, Thailand, Filipina… semua main judi dalam negara.

“Kalau kita tidak lesenkan, maka orang dalam Malaysia yang main judi luar negara, kita tidak dapat kenakan cukai.”Sebab itu kita cadangkan kepada MoF untuk membuat undang-undang supaya kalau boleh, kita dapatkan lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengawal selia judi dalam talian termasuk langkah meminda akta-akta berkaitan.

Peserta MyStep Wajar Terima Gaji Lebih Tinggi

9 NOV: Kerajaan diminta memberikan tawaran gaji tinggi setimpal dengan tahap kelulusan dan pendidikan kepada anak muda yang menerima tawaran kerja secara kontrak di bawah Program MyStep, pada tahun depan.

Ahli Parlimen BN-Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata beliau juga mencadangkan supaya dilanjutkan tempoh kontrak kerja menerusi program MyStep dan bukannya sekadar satu tahun sahaja.

“Saya juga hendak bertanya mengenai tawaran kerja secara kontrak melalui MyStep yang merupakan salah satu program dinamik dengan 50,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada belia dan lepasan graduan.

“Bolehkah kerajaan menawarkan gaji yang tinggi mengikut taraf pendidikan dan pengalaman pemohon selain dilanjutkan tempoh kontrak suapaya lebih panjang atau diserapkan terus ke sektor awam,” katanya ketika berucap menyokong perbahasan Bajet 2022 di Parlimen sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohd Nizar juga menyambut baik langkah kerajaan memperuntukan RM1.5 bilion termasuk tiada cukai keuntungan harta tanah bagi pelupusan harta selepas 6 tahun menerusi Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, Mohd Nizar berkata timbul persoalan adakah kerajaan akan meneruskan pengecualian cukai pintu diberikan pihak berkuasa tempata (PBT) kepada pemilik kediaman sedia ada terutama kumpulan M40 bermula tahun depan.

“Bolehkah pelaksanaan moratorium bagi pemilik kediaman diteruskan bagi tempoh enam bulan lagi bermula Januari 2022 kerana ia amat membantu pemilik kediaman sedia ada bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Saya juga hendak mencadangkan supaya program perumahan penjawat awam hendaklah ditawarkan penjualan kuarters kepada mereka dengan harga berpatutan dan bukan mengikut pasaran semasa dalam usaha memastikan setiap kakitangan kerajaan memiliki rumah sendiri,” katanya

Bulan Keluarga Kebangsaan kini dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia – PM

KUALA LUMPUR : Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sambutan pada bulan November ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.

“Bulan November setiap tahun diisytiharkan sebagai Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sejak tahun 2012, bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak untuk untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam sosioekonomi negara.

“Ia selaras dengan pelaksanaan Dasar Keluarga Negara yang bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan teguh serta berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial demi kesejahteraan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Keluarga Malaysia pada Ahad.

Bagaimanapun jelasnya, ia berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang beliau cetuskan yang lebih memfokus kepada usaha menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan COVID-19.

Pada masa sama, Ismail menggesa penyertaan kementerian-kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program.Katanya, kerajaan juga amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

“Penganjuran program juga boleh dilakukan pada peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, Ismail turut memberi jaminan kerajaan akan terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).”Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara.”Kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), teruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad di Taman Botani Perdana, di sini.