Masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam di negeri ini bukan disebabkan sebarang ganjaran tetapi kerana kesedaran dan hidayah yang mereka terima.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakari berkata, kesedaran yang timbul di kalangan mereka juga mungkin disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh para pendakwah.
Namun begitu, kata beliau, selepas mereka memeluk agama Islam, mereka akan dibantu menggunakan wang zakat untuk memantapkan lagi akidah golongan tersebut.
Menurut beliau, setakat ini tiada masalah di kalangan keluarga Orang Asli yang telah memeluk agama Islam, walaupun ada di antara mereka yang tinggal dengan keluarga yang masih belum beragama Islam.
“Kita belum menerima sebarang laporan mengenai masalah yang timbul baik dari segi kehidupan, makan minum dan sebagainya,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Beliau diminta mengulas soalan tambahan Abu Bakar Hussain (PAS – Titi Serong) ketika sesi soal jawab pada Sidang DUN di sebelah pagi.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN – Lintang), Drs Nizar memberitahu, seramai 46 orang mubaligh dan 60 orang Pengerak Masyarakat Orang Asli telah dilantik bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan serta pemantuan seluruh Perak.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan ketaqwaan Orang Asli yang memeluk Islam terus diperkukuhkan melalui penekanan terhadap aspek akidah, ibadah dan pembelajaran fardhu ain.
Beliau berkata antara usaha yang dibuat ialah dengan mewujudkan 35 buah kelas fardhu ain di perkampungan golongan tersebut.
“Program pengkukuhan iman, ibadah dan akhlak serta bengkel pengurusan jenazah diadakan secarap kerap melalui Jabatan Agama Islam Perak,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga telah membina sebanyak 87 buah surau dan tujuh darinya telah dinaik taraf menjadi Surau Diri Jumaat
BN Perak
Khamis, 11 Disember 2014
Kerajaan Harapkan Tahfiz Orang Asli Jadi Rujukan Di Masa Hadapan:- Datuk Mohd Nizar Zakaria
Kerajaan Perak mengharapkan agar pelajar tahfiz dikalangan masyarakat Orang Asli dapat dijadikan rujukan dari segi agama di masa akan datang.
Exco Pendidikan Islam, Pembangunan Shahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pelajar tahfiz boleh memberi tunjuk ajar sama ada dari segi ajaran Islam, bacaan Al Quran mahupun Fardhu Ain kepada masyarakat di kawasan mereka nanti.
“Kita mahu pelajar tahfiz ini dengan keupayaan ilmu mereka mampu menjadi guru agama, pendakwah mahupun sebagai orang rujukan dalam soal keagamaan.
“Atas sebab itu kita telah menghantar mereka ke institusi-institusi tertentu bagi membolehkan mereka mendalami ilmu agama.
Selain itu jelas Nizar, kerajaan juga mahu pelajar berkenaan mengadaptasi akan ilmu dan hubungan mereka dengan masyarakat setempat di kawasan pembelajaran mereka.
Dengan cara itu katanya, pelajar berkenaan akan mampu menyeimbangkan ilmu serta boleh berkomunikasi dengan masyarakat lain.
“Bagi tahfiz Orang Asli yang telah dihantar ke sekolah Tahfiz berasrama ada diantara mereka diberi peluang untuk menimba ilmu di institut-institut keagamaan dan dakwah yang lain.
“Maka disitu mereka boleh belajar berdakwah dalam masa yang sama berkomunikasi dengan orang lain,”katanya.