PARIT – Dakwaan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Parit bahawa kerajaan tidak menyediakan fasiliti selesa di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Tarbiah Islamiah, Bota Kanan di sini, adalah tidak berasas tanpa menyemak fakta sebenar.
Menurut beliau, pihaknya telah sedia maklum terdapat lebih 30 murid masih mengikuti pembelajaran di bawah khemah di pekarangan sekolah terbabit.
Sebelum ini, permohonan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dengan bangunan baharu dirasmi pada Mei lalu.
“Bangunan baharu itu bagaimanapun tidak dapat menampung keseluruhan murid jadi, kita membuat permohonan sebanyak RM100,000 bagi menambah lagi pembinaan kelas dan jumlah itu telah diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan bulan lalu,” katanya ketika ditemui pada program ramah mesra di Kampung Merua di sini, pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Calon PH Parlimen Parit, Nurthaqaffah Nordin bahawa SRAR memerlukan perhatian khas dalam menyediakan fasiliti untuk murid-murid.
Mohd Nizar yang juga calon kerusi Parlimen berkenaan berkata, pembinaan bangunan tambahan itu kini dalam perhatian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Tender membina bangunan tambahan sekolah berkenaan telah dikeluarkan pada 25 Oktober lalu. Difahamkan dalam tempoh dua minggu, pihak ICU akan turun padang bagi melaksanakan projek ini.
“Jadi, kita telah berusaha untuk membantu menaik taraf sekolah berkenaan dengan pembinaan bangunan baharu akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

