TAPAH: Berada di sebalik jeriji besi bukan penghalang untuk penghuni penjara menjadi hufaz, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.
Menurut beliau, dalam masa menjalani hukuman yang dijatuhkan mahkamah, mereka boleh mengikut kelas agama dan Al-Quran yang disediakan oleh pihak penjara di samping bimbingan kemahiran yang lain.
Beliau berkata, dengan tempoh hukuman dan bimbingan yang dijalankan, mereka juga berpotensi untuk mempunyai pelbagai bidang kemahiran dan agama.
“Oleh itu, saya harap janganlah kita terus dengan persepsi negatif terhadap mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka keluar menjalani kehidupan seharian,” katanya selepas perasmian penutup Majlis Perujian Hafazan Al-Quran dan Pertandingan Nasyid peringkat penghuni Jabatan Penjara Malaysia tahun 2017 di Penjara Tapah di sini pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Alzafry Mohamed Al-Nassif Mohamed Adahan dan Pengarah Penjara Tapah, TKP Kamarudzaman Mamat.
Drs Nizar melahirkan rasa kagum apabila markah yang diperolehi oleh peserta ujian hafazan itu sangat baik, malah ada yang melebihi 95 peratus bagi kategori lelaki dan lebih 85 peratus kategori wanita.
Di dalam ucapannya, beliau menasihatkan peserta supaya menanam azam untuk tidak kembali lagi ke penjara, sebaliknya menjalani kehidupan seharian seperti rakyat biasa.
“Sebagai manusia biasa, kita mungkin melakukan kesilapan atau kesalahan tetapi buktikan kita mampu melakukan perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik apabila keluar nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Alzafry Al-Nassif berkata, melalui program pembangunan insan (PPI) yang disediakan pihak penjara, penghuni diwajidkan mengikuti kelas-kelas agama serta Al-Quran mengikut modul 3T (talqi, tadarus dan tahfiz).
“Melalui program-program ini, kita bukan sahaja boleh melahirkan tahfiz tetapi juga mereka yang berpengetahuan agama kerana kita mahu mengubah tabiat mereka dengan cara mendalami agama.
“Dengan adanya kelas tahfiz ini, bilangan mereka yang kembali semula ke penjara semakin berkurangan dan masyarakat juga bertambah yakin dengan mereka,” katanya.
