SLIM RIVER: Seramai 334 ketua isi rumah di tiga buah Kampung Orang Asli (KOA) menerima bantuan kotak makanan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kampung-kampung yang terlibat ialah KOA Chenggong di dalam kawasam Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang; KOA Changkat Ramu (DUN Slim) dan KOA Menderang 1 & 2 (DUN Sungkai).

Menurut beliau, Program Ziarah Mahabbah KOA itu yang diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) antara lain untuk menjalinkan silaturrahim dengan masyarat berkenaan di samping mendengar denyut nadi mereka.

“Melalui program ini, kita mahu mendapatkan input daripada mereka dan secara umumnya program ini sangat berjaya,” katanya kepada Suara Perak.

Dalam masa sama, kata Drs Nizar, Jabatan Kehakimah Syariah turut menganjurkan program Khidmat Syariah dan lawatan ke empat buah rumah pelanggan Mahkamah Syariah.

Beliau menjelaskan, program itu antara lain untuk mendapatkan maklum balas mengenai perintah mahkamah yang telah diputuskan seperti tuntutan nafkah, edah dan mutaah (saguhati), yang kebanyakkannya melibatkan ibu tunggal.

“Kita mahu tahu apakah bayaran-bayaran yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah telah dibuat ataupun ada masalah-masalah lain,” ujar beliau.

Pada masa sama, ujarnya, khidmat nasihat dan kaunseling turut diberikan kepada ibu tunggal berkenaan untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Beliau menambah, terdapat kes bekas suami ingkar atau tidak mampu untuk menjelaskan bayaran yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tetapi bilangannya tidak ramai.

“Kerajaan turut membantu melalui tabung di bawah Bahagian Sokongan Keluarga untuk memberi pendahuluan sementara bekas suami dapat menjelaskan bayaran berkenaan,” katanya.