IPOH: Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk telah diedar kepada warga kerja Bangunan Perak Darul Ridzuan dalam satu majlis penyerahan di sini, hari ini.
Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).
Agihan tersebut termasuklah kepada Lembaga Muzium Negeri Perak, Majlis Sukan Negeri serta 13 jabatan di kawasan sekitar seperti Lembaga Air Perak, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Majlis penyerahan bubur lambuk berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Terdahulu, warga kerja Bangunan Perak Darul Ridzuan telah bergotong-royong bermula seawal jam 8 pagi bagi menyediakan dan memasak sebanyak 10 periuk bubur lambuk sebelum diisi ke dalam bekas plastik untuk diagihkan.