10:00 AM – Menghadiri Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan di Dewan Mesyuarat Bangunan SUK, Perak.
05:00 PM – Menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra anjuran UMNO Cawangan Kampung Kucai,lambor kiri
06:00 PM – Beramah Mesra, Ziarah dan Meninjau Kawasan Tanah Runtuh Akibat Hujan Serta Memberi Sumbangan di Kampung Teluk Perak,
07:00 PM – Ramah Mesra dan Menyampaikan Sumbangan berupa Kerusi Roda Kepada Salah Seorang Penduduk Kampung Sadang.
09:30 PM – Menghadiri Program Ziarah dan Ramah Mesra sekitar DUN Belanja.
10:00 PM – Ramah Mesra dan Makan Malam di Kampung Kuchai.
Artikel / Keratan Akbar / Portal
Perak News: 26 Ogos 2014
Kerajaan telah menyediakan kelas-kelas pemulihan al – Quran dan Fardhu Ain secara percuma kepada masyarakat awam, termasuk anak-anak muda melalui institusi masjid di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sesi pengajian itu dikendalikan oleh guru-guru takmir, dakwah dan guru bertauliah.
Bagaimanapun, kata beliau, terpulang kepada tahap kesedaran ibu bapa dan anak-anak untuk menghadiri kelas berkenaan bagi mempelajari dan mendalami ilmu al – Quran.
“Selain daripada itu, pihak swasta seperti stesen radio dan televisyen juga menyediakan kelas al-Quran daripada peringkat mengenal alif ba ta sehingga cara bertaranum,” katanya ketika menjawab soalan Husin Din (PAS – Selinsing) pada Sidang DUN pada Selasa.
Beliau memberitahu, kerajaan akan memastikan guru-guru KAFA yang dilantik dan berkelayakan mampu mengajar anak murid membaca al-Quran dengan fasih dan bertajwid.
Menurutnya, guru-guru ini akan diberi kursus dalam perkhidmatan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran membaca al-Quran di samping diberi pendedahan kaedah mengajar al-Quran dengan baik.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah dan sedang berusaha untuk mengatasi masalah buta al-Quran di sekolah-sekolah harian melalui program J-QAF.
Katanya, murid-murid yang masih tercicir akan terus dibimbing di peringkat sekolah melalui Kem Literasi al-Quran yang diadakan di samping menganjurkan Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran al-Quran kepada guru-guru dan dilaksanakan di seluruh daerah.
“Program-program pemulihan juga turut diadakan kepada murid-murid tahun enam melalui program selepas UPSR dengan sasaran 100 peratus boleh membaca al-Quran,” tambahnya.
Drs Nizar memberitahu, baru-baru ini kerajaan negeri telah melancarkan satu lagi program agama bagi mengatasi masalah pelajar tercicir daripada mengikuti kelas KAFA dan masih buta al-Quran.
Menurut beliau, program yang dinamakan KAFA Tulen itu dilaksanakan di sekolah kebangsaan selepas sesi persekolahan sebanyak tiga hari seminggu iaitu Isnin, Selasa dan Khamis.
Katanya, sebagai permulaan, 10 buah sekolah kebangsaan di Perak Tengah, Batang Padang, Kinta Selatan, Manjung, Kerian, Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama telah dipilih untuk projek perintis.
“Diharapkan, program KAFA Tulen ini dapat memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar yang tidak dapat menghadiri kelas KAFA di sekolah agama rakyat lain,” ujar beliau.
Artikel / Keratan Akbar / Portal
Perak Today : 26 Ogos 2014
Kerajaan Negeri Atur Pelbagai Program Atasi Masalah Buta Al-Quran
Masalah buta Al-Quran di kalangan murid Islam antara masalah yang diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri Perak.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, pelaksanaan program Jawi, membaca Al-Quran, kelas Fardhu Ain (J-QAF) dan Penilaian Asas Fardhu Ain (KAFA) antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu. “Kerajaan sentiasa memastikan guru-guru KAFA yang dilantik itu berkelayakan dan mampu mengajar anak-anak murid membaca Al-Quran dengan fasih,” katanya. Jelasnya lagi, murid-murid yang tercicir akan terus dibimbing di peringkat sekolah melalui Kem Literasi Al-Quran dan program pemulihan buat murid Tahun 6 selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan sasaran 100 peratus boleh membaca. “Kementerian Pendidikan turut menganjurkan Kursus Pemantapan Kaedah Pengajaran Al-Quran kepada guru-guru yang dilaksanakan di seluruh daerah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Husin Din (PAS-Selinsing). Ujar Mohd Nizar lagi, kerajaan negeri turut melancarkan program KAFA Tulen bagi mengatasi masalah murid yang tercicir daripada mengikut kelas KAFA dan dianggap buta Al-Quran. “KAFA Tulen memberi kemudahan kepada murid-murid yang tidak menghadiri kelas KAFA di Sekolah Agama Rakyat (SAR),” katanya. Sebagai permulaan, ujarnya 10 buah sekolah kebangsaan telah dipilih untuk mengikuti program itu yang membabitkan daerah Perak Tengah, Batang Padang, Kinta Selatan, Manjung, Kerian, Hilir Perak dan Larut Matang Selama. Kerajaan negeri juga katanya, telah menyediakan kelas-kelas pemulihan Al-Quran dan fardhu ain secara percuma kepada masyarakat awam termasuklah anak-anak muda melalui institusi masjid di seluruh Perak. “Namun begitu, hal ini juga terpulang kepada kesedaran ibu bapa dan anak-anak untuk menghadiri kelas berkenaan bagi mendalami ilmu Al-Quran,” katanya.
Artikel / Keratan Akbar / Portal
Perak Today : 26 Ogos 2014
Pasangan Model Separuh Bogel: ‘Biar Polis Ambil Tindakan Ikut Undang-Undang’: DS Zambry
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menyifatkan tindakan pasangan model yang berpakaian menjolok mata di Jalan Sultan Yussuf, dekat Ipoh, semalam sebagai tidak menghormati adab dan tatasusila negara.Kerajaan negeri katanya, tidak akan bertoleransi dengan perbuatan seumpama itu yang dibuat secara terbuka. “Tindakan yang memperlihatkan perbuatan tidak senonoh di khalayak umum itu adalah bertentangan dengan prinsip dan tatasusila masyarakat kita yang berbilang kaum. “Mungkin ada yang beranggapan ia satu budaya yang berlaku di beberapa buah negara tetapi di Malaysia, kita tidak boleh menerima perkara-perkara yang bertentangan dengan adab serta budaya rakyat yang pelbagai kaum,” katanya lagi. Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada. “Perbincangan dengan pihak berkuasa telah dijalankan dan kini siasatan sedang dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab. “Siasatan akan siap dalam tempoh terdekat ini termasuklah mendapatkan maklumat mengenai latar belakang setiap mereka yang terlibat,” tegasnya. Semalam, pengguna jalan raya di sekitar Jalan Sultan Yussof di Ipoh digemparkan pula dengan gelagat satu pasangan dipercayai model pengantin yang berjalan dalam keadaan separuh bogel di tengah-tengah kesibukan lalu lintas untuk menjalani sesi fotografi di laluan itu. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita berkenaan dilihat hanya memakai bikini berwarna putih manakala pasangannya hanya memakai seluar panjang hitam tanpa baju. Tindakan pasangan itu mengundang rasa tidak senang di kalangan pengguna jalan raya malah gambar pasangan terbabit juga dilaporkan sudah mula tersebar meluas di media sosial dan menjadi kritikan hebat. Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, rakaman sesi fotografi itu dipercayai dilakukan tidak lama iaitu kira-kira 10 minit, bagaimanapun ia menarik minat pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan kerana mereka berpakaian menjolok mata serta tidak senonoh.