01:00 PM – Solat Jumaat dan Ramah Mesra Bersama Ahli Kariah Masjid Kg. Teluk Perang
10:00 PM – Menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal dan Anak-Anak Yatim di Surau Kampung Parit 6 Layang-Layang Kiri.
Keratan Akhbar / Portal / Perak News
Lebih 1,000 Mahasiswa Berbuka Puasa Bersama Dr Zambry
Lebih daripada 1,000 mahasiswa dari 18 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri Perak telah memeriahkan Majlis Iftar bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada malam Khamis.
Majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Perak dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP) itu diadakan di kediaman Menteri Besar jelas menampakkan kegirangan para mahasiswa yang teruja untuk berkongsi masa bersama rakan-rakan dan pemimpin negeri itu.
Dr Zambry berkata, majlis itu diadakan untuk merapatkan lagi sillaturahim di antara pemimpin kerajaan negeri dan penuntut IPT yang bakal menjadi pemimpin pelapis masa depan.
Beliau turut melancarkan Kembara Siswa/i Yayasan Perak yang akan menjelajah ke tujuh zon sekitar negara sebaik sahaja Aidilfitri berakhir.
“Mereka akan mewakili negeri ini ke zon Perak, zon tengah, zon utara, zon selatan, zon timur, zon Sabah dan Sarawak, justeru harapan saya agar mereka dapat menimba sebanyak pengalaman dan adat budaya setiap lokasi yang akan mereka jelajah kelak,” katanya.
Majlis dimulakan dengan bengkel pengenalan khas oleh Meor Farid Asyradi Meor Zahidi iaitu penulis buku Travellog Mr Traveller pada sebelah petang kemudian disusuli dengan jamuan berbuka puasa.
Selesai menjamu selera mereka bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih bersama dengan Dr Zambry.
Bagi Mohamed Helmi Mohamed Zaidi, 19, peluang untuk berbuka puasa bersama dengan pemimpin negeri itu merupakan pengalaman manis buat dirinya.
“Malu rasanya mula-mula apabila Dr Zambry bertegur sapa dengan kami tetapi lama-kelamaan ianya menjadi mesra, semuanya kerana beliau, bukan sahaja bersifat rendah diri, malah senang untuk bergaul dengan pelajar.
“Nasihat beliau kepada kami, teruskan perjuangan dalam mencapai impian kami di masa hadapan dan apa sahaja yang kami lakukan, biarlah ia disertai dengan restu ibubapa dan niat yang betul,” katanya ketika ditemui.
Helmi yang berasal dari Melaka dan kini berada dalam semester ketiga jurusan Multimedia di Kolej Pengajian Teknologi Mara berkata, dia amat teruja kerana mewakili institusinya untuk berbuka puasa bersama Menteri Besar serta rakan-rakan.
Nur Hamshida Hamzeei, 33, yang berasal dari Taiping pula berkata, walaupun berasal dari Perak, namun ini merupakan kali pertama dia dapat peluang bertemu secara dekat dengan Dr Zambry.
Penuntut Kolej Sains Kesihatan Bersekutu dalam Diploma Lanjutan Perawatan Unit itu berkata, majlis sederhana itu juga membuka ruang untuknya berkenalan dengan mahasiswa dari sekitar negeri Perak.
“Seronok dapat makan bersama, berkenalan di majlis berbuka puasa ini kerana selalunya semua sibuk dalam pengajian masing-masing, jadi ini sahaja masa yang sesuai untuk kami semua berkumpul dan berkongsi cerita,” ujarnya.
Jelasnya, peranannya sebagai seorang ibu kepada empat orang anak dan juga sebagai seorang mahasiswa kolej telah mengajarnya selok-belok untuk membahagikan masa dengan lebih bijak dan efisien.