08:30 AM – Merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak Kali Ke 35 Tahun di Dewan Saidina Abu Bakar INTIM.
Perak Cadang Tubuh Lembaga Pengembangan Al – Quran
Perak mendahului negeri-negeri lain dalam usaha memartabatkan lagi Al – Quran dengan cadangan terbaharu untuk menubuhkan Lembaga Pengembangan Al – Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, lembaga itu akan dianggotai oleh mereka yang mahir di dalam bidang Al – Quran seperti hafazan dan tilawah.
Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan bertindak sebagai urusetia lembaga itu.
Beliau memberitahu, lembaga itu akan melihat apa sahaja bentuk perkembangan Al – Quran dan masalah-masalah yang berkaitan, termasuklah dari segi cabaran.
“Lembaga ini mempunyai skop yang lebih besar, memerhati, memantau, melihat dan mengkaji apa sahaja perkembangan yang melibatkan Al – Quran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ujian Hafazan Al – Quran di INTIM, Ipoh pada Isnin.
Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Drs Mohd Nizar berkata, selain daripada penubuhan Lembaga Pengembangan Al – Quran, kerajaan negeri Perak juga komited untuk memastikan semua daerah di negeri ini mempunyai Sekolah Menengah (SM) Tahfiz negeri.
Beliau memberitahu, setakat ini lima daerah telah mempunyai sekolah ini, iaitu di Pangkor untuk daerah Manjung, Lenggong (Hulu Perak), Semanggol (Kerian), Tapah (Batang Padang) dan Sungai Siput (Kuala Kangsar).
Selain itu, kata beliau, tiga Sekolah Menengah Agama Negeri iaitu SM Izzuddin Shah, SM Raja Perempuan Ta’ayah dan SM Raja Dr Nazrin Shah turut mempunyai kurikulum untuk tahfiz.
Beliau berkata, sekiranya semua sekolah itu telah wujud, diharap ia dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan kira-kira 500 orang hafazan muda setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau berharap sekolah-sekolah tahfiz yang belum berdaftar dengan JAIPk supaya dapat berbuat demikian bagi memudahkan usaha untuk penyeragaman dan penyelarasan, di samping penyaluran bantuan dan peruntukan.
“Tidak perlu rasa takut untuk berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak dan insya Allah kita hendak bantu, kita tidak kacau apapun, kita tidak ambil apapun,” ujar beliau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Mohd Yusop bahawa setakat ini terdapat 23 sahaja sekolah tahfiz yang berdaftar manakala banyak lagi yang masih belum berdaftar.
Menurut Pengarah JAIPk itu, walaupun pihaknya boleh mengambil tindakan, tetapi dibimbangi ia akan disalah ertikan oleh setengah pihak.
“Pusat-pusat pendidikan yang lebih yang mempunyai lebih 20 pelajar perlu mendaftar di bawah enakmen kawalan sekolah, jika tidak berdaftar boleh diambil tindakan tetapi bimbang akan disalah ertikan,” tambah beliau.
Mohd Yusop menjelaskan, kerajaan negeri telah mempunyai kurikulum yang seragam untuk sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar demi menjaga kebaikan semua pihak, termasuk pelajar dan ibu bapa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mempastikan anak-anak mereka belajar di sekolah tahfiz yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.
Beliau memberi contoh terdapat sindiket di luar Perak yang berselindung di sebalik sekolah tahfiz dengan menggunakan kanak-kanak untuk mengutip wang.
Walaupun tidak berlaku di sekolah tahfiz di negeri ini, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap kegiatan seumpama ini kerana khuatir ia akan berleluasa sehingga boleh memalukan Islam dari kaca mata penganut agama lain.