Perutusan Hari guru
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillah Hirohmanirohim
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izinNya kita dapat bersama-sama menyambut perayaan Hari Guru tahun ini.
Sesungguhnya, hari ini amat istimewa dan bermakna kerana hari ini para guru diraikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar dan pengorbanan merka para guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para guru diseluruh tanahair kerana berjaya menggalas tanggungjawab berat demi memenuhi hasrat negara bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang bersatu, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global.
Didalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari guru kepada semua guru-guru didalam Perak Tengah khasnya yang mana telah berusaha gigih untuk memastikan pembinaan minda generasi muda menuju matlamatnya.
Hari Guru adalah satu acara yang tersusun untuk menghargai para guru dalam masyarakat.Sekarang ini terdapat ramai yang terpelajar dan oleh itu para guru menghadapi saingan sebagai punca pengetahuan. Akan tetapi mereka yang terpelajar perlu diperingati bahawa mereka meningkat ke taraf tersebut kerana pengorbanan saorang guru.
Oleh sebab itulah kita mengadakan secara formal usaha memperingati masyarakat akan peranan guru dan pentingnya kita menghargai guru dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada kebudayaan bangsa Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Tema Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Malaysia: 1 Aspirasi, 1 Agenda’. satu aspirasi membawa maksud untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia, satu aspirasi ini juga dipertanggungjawabkan kepada semua guru untuk membentuk ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.
1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan pendidikan Negara berada dilandasan yang menjadi matlamat.Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Menyingkap semula sejarah silam,sebahagian daripada tugas guru yang utama di zaman dahulu ialah memupuk budi pekerti yang baik di kalangan pelajar-pelajar. Memang benar ibu bapa bertanggungjawab terhadap pembentukan peribadi yang baik ini.
Tetapi apabila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada guru di zaman dahulu, mereka berharap dan guru juga sedar bahawa peribadi anak mereka akan dibentuk oleh guru yang mana masyarakat dan ibu bapa beranggapan bahawa pengetahuan yang ada dikalangan guru adalah yang terbaik bagi pembentukan sahsiah anak anak mereka.
Di zaman sekarang juga peranan guru dalam pembentukan peribadi murid, iaitu bakal warganegara dewasa, masih ada dan diperlukan. Perbahasan sama ada guru atau ibu bapa yang bertanggungjawab dalam hal ini tidak harus berlaku. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab mereka dan guru juga mempunyai tanggungjawab yang lebih mencabar mengikut peredaran dari masa ke semasa.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Saya hari ini adalah hasil daripada hubungan dan didikan guru-guru dalam kehidupan saya, terutama semasa di bangku sekolah selain daripada didikan di rumah oleh ibu bapa, abang-abang dan kakak-kakak.
Saya berpendapat kesan didikan oleh guru-guru tidak kurang tetapi mungkin lebih daripada kesan didikan oleh keluarga. Dan masyarakat di mana-mana sahaja menerima hakikat peranan guru dalam pembentukan peribadi selain daripada penyampaian ilmu tertentu.
Saya yakin dan percaya bahawa semua guru sedar akan hakikat ini. Tetapi masyarakat di Malaysia tidak menganggap didikan yang boleh membentuk peribadi yang mulia sebagai sama penting atau lebih penting daripada ijazah keilmuan.
Ternyata begitu hebatnya pengorbanan saorang guru dimana gudang ilmu yang mereka berikan akan membina satu generasi yang mempunyai nilai nilai murni dan kepimpinan dimana akan menjadi aset yang penting kepada Negara dimasa kan datang.
Dimasa dahulu, guru merupakan indivudu yang amat dihormati dan amat disegani dimerata tempat, kerana didalam masyarakat Melayu kata kata saorang guru merupakan satu amanah yang harus diikuti.
Adalah menjadi satu pantang larang jika kata kata saorang guru dilanggar, ini akan menyebabkan ilmu yang akan disampaikan tiada membawa berkat. Begitu lah tingginya taraf saorang guru dimata masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Oleh yang demikian pendidikan yang bermutu tinggi bukan bermakna jenis ilmu tetapi penyampaian ilmu secara yang berkesan. Setiap guru harus tahu akan kualiti-kualiti dan cara-cara yang menjadikan sesetengah guru berkesan. Mereka seharusnya mengamalkan cara itu. Ini akan menjamin mutu pendidikan di negara ini berkesan dan tinggi.
Tetapi yang terpenting sekali untuk mengadakan didikan yang bermutu ialah dedikasi dan semangat guru itu sendiri; dedikasi dan semangat yang mengenepikan soal-soal lain, termasuk soal-soal peribadi, semasa mengajar. Walau apa sekalipun masalah peribadi atau kumpulan yang dihadapi, semuanya harus diketepikan semasa menyampaikan pelajaran kepada murid.
Dengan cara ini segala matlamat yang disarankan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan akan bersesuaian dengan tema Hari guru pada tahun ini “Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda”
Untuk mencapai sesuatu matlamat bukan mudah dilakukan tetapi mutu atau kualiti sitem pendidikan dan system pengajaran yang dilakukan oleh guru yang berprestasi. teguh peribadi dan berdisiplin yang boleh mencapai mutu yang tinggi.
Perkara yang harus kita ingat ialah mereka yang berjaya mencapai mutu yang tinggi dalam mendidik murid akan berjaya dalam kehidupan mereka sendiri, insya-Allah.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah cemerlang didalam kerjaya perguruan. Kepada semua guru, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
Akhir sekali , marilah kita bersama sama meraikan Hari yang cukup bermakna ini dan meraikan guru guru kita dan mengiktirafkan mereka sebagai tonggak kepada gudang ilmu dan tonggak kepada pembangunan sahsiah bangsa untuk menjaimin kesinambungan kepimpinan yang dibentuk oleh saorang individu yang bergelar guru.
“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.
Wabillahi al-taufik wa al-hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian
Mohd Nizar b Zakaria
Adun Blanja