10:00 AM – Menghadiri Mesyuarat EXCO.
05:00 PM – Melawat dan Memberikan Sokongan Moral kepada Saudara Murad yang akan Berkayak Secara Solo dari Cenderuh hingga ke Teluk Intan Melalui Sungai Perak, Semperna Bulan Kemerdekaan.
05:30 PM – Merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Balapan dan Padang SMK Sultan Muhammad Shah Tahun 2014 di Padang MDPT,Parit
08:30 PM – Menyaksikan Perlawanan Bola Sepak Piala Malaysia antara Perak Vs Kedah di Stadium Indara Mulia,Ipoh.
Artikel / Keratan Akbar / Portal
Perak News : 14 Ogos 2014
Sekolah Agama Juga Mampu Lahirkan Atlet Cemerlang
Sekolah agama di Perak juga mampu melahirkan atlet terbaik yang mewakili negeri di samping cemerlang di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, beberapa pelajar sekolah agama di negeri ini pernah mewakili Perak di dalam kejohanan peringkat kebangsaan.
Beliau memberi contoh, ada di antara mereka yang mewakili Perak pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di dalam beberapa jenis sukan seperti memanah di samping mencipta inovasi yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Mereka mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan, apabila semua ini digarapkan, mereka mampu cemerlang dalam pelbagai bidang, baik akademik, ciptaan inovasi, mahupun sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen Perak yang akan mengambil bahagian di dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan (KESSUMA) 2014 di Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah di Ipoh pada malam Rabu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin dan Ketua Kontinjen, Ahmad Fesal Yahya.
Drs Nizar berkata, pelajar sekolah agama mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding pelajar sekolah biasa kerana mereka mempunyai semangat lebih tinggi dengan jati diri yang kental.
Sehubungan itu, beliau berharap, kontinjen Perak mampu memperbaiki kedudukan dari tangga ke tiga tahun lalu yang hanya mengutip dua pingat emas daripada sembilan jenis sukan yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, dalam usaha untuk mencapai kejayaan, beliau mahu setiap atlet yang mewakili Perak menunjukkan contoh yang baik, berdisiplin dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Sembilan pingat emas yang ditawarkan pada KESSUMA 2014 yang akan berlangsung di UUM, Sintok mulai 15 – 18 Ogos ialah bola sepak (L), sepak takraw (L), badminton (L), badminton (P), bola jaring (P), bola tampar (L), bola tampar (P), ping pong (L) dan ping pong (P).
Perak Today : 14 Ogos 2014
Bakat Pelajar Aliran Agama Dalam Bidang Sukan Perlu Digilap
Jelasnya, aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum yang dijalankan di setiap sekolah menengah di Perak amnya tidak mengetepikan elemen kesukanan.
“Selain bidang akademik, pelajar juga mempunyai kemahiran dan kebolehan yang lain termasuklah nilai komersil dalam lingkungan inovasi kesukanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan bendera kepada ketua kontinjen Negeri Perak sempena Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama (KESUMA) 2014 peringkat Perak di Ipoh, malam tadi.
Jelas beliau lagi, penganjuran aktiviti itu merupakan usaha untuk mengumpul pelajar yang mempunyai potensi menyerlah dalam bidang sukan.
“Sudah pasti para peserta ini mempunyai keupayaan Dan kelebihan tersendiri yang perlu digarap untuk bersaing dengan pelajar lain,” katanya.
Katanya lagi, asas paling penting dan utama ialah pelajar sekolah aliran agama amnya harus mempunyai kebolehan tersendiri yang melibatkan ruang dan skop dalam komuniti sekolah itu sendiri.
“Apabila mereka berada di lingkungan pekerjaan, kewibawaan akedemik, sukan dan moral dapat dijadikan sebagai asas bagi mereka menjana kehidupan yang lebih baik dan menjadi contoh kepada semua,” katanya.