09:30 AM – Perasmian Kospen Rukun Tetangga di Padang Awam Taman Seri Ara Parit.
10:30 AM – Perasmian Program Khatam Al-Quran Dan Majlis Tahnik di Koa Pos Raya Simpang Pulai.
02:00 PM – Merasmikan Pertandingan Tarik Tali Karnival Mini Belia Dan Masyarakat 2014 di Kampung Sepakat Jaya Titi Gantong.
Perak Mahu Lahirkan Tahfiz, Pendakwah Orang Asli
Perak berhasrat melahirkan tahfiz dan pendakwah di kalangan Orang Asli di negeri ini kerana mereka lebih mengetahui kehendak dan cita rasa masyarakat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai permulaan, Sekolah Menengah Agama Rakyat Kampung Kenang, Sungai Siput telah dipilih sebagai program perintis.
Menurut beliau, selain kurikulum pendidikan biasa dan agama, sekolah itu juga mula memperkenalkan silibus tahfiz di kalangan para pelajar, yang terdiri dari anak-anak Orang Asli.
“Setakat ini terdapat 150 pelajar sekolah itu yang mengikuti pendidikan sepenuh masa, seperti sekolah-sekolah biasa yang lain di samping kita menyediakan kemudahan asrama untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al – Quran dan Tahnik Orang Asli Peringkat Daerah Kinta di Surau Kampung Kerawat, Simpang Pulai pada Ahad.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin hadir sama dalam program yang melibatkan 21 peserta Orang Asli yang khatam Al – Quran, termasuk tiga daripada Kampung Kenang.
Selain itu 10 bayi terlibat alam untuk aktiviti tahnik – tradisi masyarakat Islam memberi bayi merasa kurma dan air zam-zam.
Drs Nizar berkata, selain Sekolah Menengah Agama Rakyat Kampung Kenang, pihak JAIPk juga telah memilih Sekolah Agama Rakyat Kampung Tunggang, Hulu Kinta untuk mengikuti program yang sama.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan masyarakat Orang Asli yang telah memeluk agama Islam, malah sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi ilmu agama mereka melalui pelbagai program yang telah diatur.
Sementara itu, Mohd Yusop pula berkata, selain daripada dua buah sekolah agama rakyat itu, JAIPk juga akan menambah bilangan sekolah kebangsaan yang turut mengajar kelas KAFA Tulen.
Beliau memberitahu, tahun ini, sebanyak 10 buah sekolah telah mempunyai kelas KAFA Tulen, termasuk sebuah sekolah di perkampungan Orang Asli dan tahun hadapan, kita akan memohon untuk menambah lagi bilangannya.
“Melalui Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS), kita bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengadakan lebih banyak kelas KAFA Tulen di sekolah-sekolah kebangsaan,” tambah beliau.