Sambil melahirkan kekecewaannya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan tindakan golongan peniaga yang sanggup memanipulasikan pelaksanaan sistem percukaian itu sebagai perbuatan tamak.

Menurut Hasan, beliau sendiri beberapa kali pernah terserempak dengan iklan-iklan perniagaan yang kononnya membuat jualan murah sebelum GST dilaksanakan tahun hadapan.

“Pengguna perlu sedar bahawa apabila GST dilaksanakan, ada barangan serta produk yang dikecualikan (cukai), bukan semuanya kena sistem percukaian itu.

“Jangan mudah tertipu dengan iklan-iklan peniaga tidak bertanggungjawab ini yang bertujuan mahu mengaut keuntungan besar sehingga sanggup ‘menyeleweng’ maklumat seolah-olah semua harga barangan akan naik selepas GST dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pasar raya Groom Big Coop, Koperasi Usahawan Wilayah Utara Perak Berhad.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Hasan memberitahu, walaupun lesen atau kebenaran memaparkan iklan tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), kementerian boleh menurunkan iklan-iklan tersebut sekiranya mendapati maklumat yang dipaparkan adalah mengelirukan.

Katanya, individu atau syarikat yang didapati terlibat dengan kegiatan itu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Di bawah akta berkenaan, individu didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun. Syarikat terbabit pula boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

“Ada beberapa individu dan syarikat telah pun didenda di bawah akta ini. Jangan ingat kami tidak melaksanakannya,” jelas beliau.