PARIT: Seramai 32 orang artis veteran dibawah Yayasan Artis Veteran Malaysia merasai sendiri kehidupan kampung dan musim durian di sini sejak petang semalam.
Idea cetusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Belanja, Datuk Mohd Nizar Zakaria berjaya memberi pengalaman baru kepada para artis tersebut disamping mendekati masyarakat kampung sempena Ramadhan ini.
Menurut Nizar, rombongan tersebut tiba pada 4 Julai lalu dan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kunjungan ke Bazar Ramadhan, beramah mesra bersama penduduk dan bersama-sama memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan.
“Mereka menginap di Homestay Taman Maju seterusnya bergerak ke Bazar Ramadhan meramah mesra serta memberi sokongan kepada peniaga,”.
“Seterusnya menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Jabariah di Lambor kiri dan merasai sendiri suasana berbuka di masjid dan menu masakan kampung iaitu gulai tempoyak,” katanya.
Tambahnya lagi, aktiviti sebegini merupakan langkah mempromosikan negeri Perak yang mempunyai pelbagai kesenian, kebudayaan dan alam landskap yang cukup menarik untuk dikunjungi dan diterokai.
Kunjungan ke dusun durian Kampung Paloh menjadi acara kemuncak kunjungan tersebut dengan memberi kesempatan kepada artis veteran untuk mencari, mengutip dan mengupas sendiri durian daripada dusun tersebut.
Terdapat juga sesi bermain rebana yang disertai oleh masyarakat kampung dan artis veteran diberi kesempatan untuk merasai sendiri bermain rebana dan menghiburkan semua.
“Pada sebelah malam ada jamuan dengan pelbagai menu tradisional menarik sehingga ke program bersahur,” katanya lagi.
Program tadarus dan khatam Al-Quran turut dianjurkan dan disertai golongan artis veteran ini bertempat di Masjid Kampung Bukit Chupak anjuran Pergerakan Wanita UMNO Parit.
Sementara itu,menurut Pengerusi yayasan tersebut Kismah Johar kunjungan seperti ini merupakan aktiviti julung kali dianjurkan oleh persatuan tersebut.
“Kami rasa satu idea cukup baik…memang akan mengikut langkah yang baik sebegini dan akan berkunjung lagi ke sini.
“Suasana seperti ini memang cukup menyeronokkan apabila ianya jarang sekali dapat diperolehi,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini pihak yayasan sering menganjurkan majlis berbuka puasa dan tahlil apabila tibanya Ramadhan dan program acara kali ini semenangnya cukup menarik.
Antara Artis veteran yang turut serta seperti Mariam Ahmad, Rama, Normah Damahuri dan Ayati Tasrip.