09:30 AM – Pameran Koleksi Gambar, Pelancaran Setem Hari Pertama Dan Hikayat Misa Melayu Sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak XXXV di Dewan Bandaran Ipoh.
03:30 PM – Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Forum Ilmuan Islam Bil.2/2015 di Bilik Mesyuarat No 5 Casuarina @ Meru, Ipoh.
08:00 PM – Pertandingan Akhir Pidato Dan Penyampaian Hadiah Penulisan Esei Sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak XXXV di Amanjaya Convention Centre, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.
Keratan Akhbar / Portal / Perak Today
07 Mei 2015
Sultan Perak Rasmikan Pameran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Hikayat Misa Melayu
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan mencemar duli dan melancarkan Pameran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Hikayat Misa Melayu, pagi tadi, di sini.
Turut berangkat sama Tuanku Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Pameran yang berlangsung selama sebulan itu, bermula hari ini sehingga 4 Jun 2015 bertempat di Dewan Bandaraya Ipoh dianjurkan khusus bersempena dengan Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak yang ke-35.
Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menghargai segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan kerjasama beberapa kementerian yang turut terlibat.
“Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Beta, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, BERNAMA dan Jabatan Penerangan atas inisiatif bersama dalam menganjurkan Pameran Koleksi Gambar Sultan Perak sempena Pertabalan Sultan Perak ke-35.
“Penghargaan dan terima kasih turut Beta zahirkan kepada Pos Malaysia atas inisiatif mengeluarkan Setem Hari Pertama mengambil sempena peristiwa yang sama,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan buat Yayasan Karyawan dan RNS Publications yang turut bersama bekerjasama dalam menjayakan penerbitan Hikayat Misa Melayu.
“Beta memilih untuk melancarkan penerbitan Hikayat ni bersempena istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35, berasaskan inti pati Hikayat ini yang meriwayatkan keturunan, peraturan dan istiadat Raja-raja dan Kerajaan Perak.
“Semoga penerbitan ini dapat dijadikan tatapan, khususnya dalam kalangan generasi masa kini sebagai bekal mencipta masa hadapan lebih gemilang,” titah Baginda.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam ucapannya sebentar tadi berkata, objektif utama pameran ini adalah untuk memberi dan menyampaikan maklumat kepada generasi muda.
“Pameran ini akan menyampaikan maklumat kepada rakyat terutama generasi muda melalui penghayatan visual yang dipaparkan.
“Hal ini bagi membolehkan mereka memahami dan mendekati secara ringkas kehidupan Sultan Perak,”katanya.
Katanya lagi, pameran ini juga mengandungi beberapa bahagian seperti paparan bahan-bahan komunikasi visual dan persembahan multimedia.
Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Dato Seri DiRaja Tan Seri Mohd Zahidi Zainuddin, barisan Exco Negeri dan Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak.
Keratan Akhbar / Portal / Perak Today
07 Mei 2015
Sultan Perak Hadir Pertandingan Esei dan Pidato Sempenan Pertabalan
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat bagi menyaksikan Pertandingan akhir pidato dan penyampaian hadiah penulisan esei bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 di Hotel Casuarina@meru Ipoh di sini hari ini.
Baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan menyaksikan pertandingan akhir pidato tersebut oleh tiga pemidato terbaik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kategori menengah atas bagi merebut johan keseluruhan.
Mohd Razeikh Md.Rizal berjaya dinobatkan sebagi johan pidato terbaik bagi kategori Menengah Atas dalam Bahasa Melayu manakala R.Eashvar johan bagi kategori Bahasa Inggeris.
Pertandingan menulis esei kali ini juga terbuka kepada penyertaan semua murid sekolah seluruh negeri Perak yang bermula pada awal bulan Januari 2015.
Manakala bagi pertandingan pidato pula peringkat daerah telah dianjurkan pada 28 Mac lalu dan peringkat negeri berlangsung di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) 18 April lalu.
Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Seramai 430 pelajar daripada seluruh daerah telah menyertai pertandingan pidato manakala 7,646 pelajar turut mengambil bahagian dengan menghantar karya esei masing-masing.
Penganjuran program sebegini merupakan satu langkah bagi menggalakkan penglibatan para pelajar secara langsung dalam Istiadat pertabalan sultan Perak ke-35 serta diharapkan mampu menimbulkan kefahaman secara menyeluruh mengenai institusi Raja.
Pertandingan pidato peringkat akhir tersebut telah dipengerusikan oleh Moderator, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan diadili oleh Pengerusi Panel Jemaah Hakim, Tan Sri Profesor Datuk Dr. Nordin Kardi.
Johan menulis esei dan pidato membawa pulang wang tunai RM1,000 seorang yang telah disampaikan oleh baginda sebentar tadi.