RAMAH mesra dan sembang santai Datuk Ustaz Mohd Nizar Zakaria sejak menjadi Ahli Parlimen bermula 2008 bersama masyarakat Parlimen Parit terus memberi keyakinan tinggi kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi menyumbangkan kerusi Parlimen di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam PRU14 lalu, Ustaz Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti 6,320 undi menewaskan calon PAS, Dr Najiha Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.

Malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN turut menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman, untuk menggalas amanah sebagai calon BN peringkat Parlimen.

BN juga menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik, di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

“Di hadapan saya ini adalah calon-calon, yang akan menggalas amanah besar, bagi kita membawa aspirasi rakyat dan mengembalikan kegemilangan negara. Ini adalah amanah maha berat, yang bukan hanya akan dihakimi oleh rakyat, tetapi akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.

“Saya amat sedar, sementara kepentingan politik dalaman BN menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon namun tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkatkan kembali agenda mensejahteraan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian,” kata Pengerusi BN yang juga Presiden Umno.