IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa Ulama dan Umara, tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah sebaliknya perlu saling membantu dan bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.

Titah baginda tanggapan salah bahawa satu pihak bertanggungjawab kepada urusan agama, sementara yang satu lagi hanya bertanggungjawab kepada urusan negara semata.

“Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi, dan tidak pula memisahkan kuasa pemimpin daripada agama, hatta memperkukuhkan betapa pentingnya Ulama dan Umara saling membantu dan saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarina @ Meru,di sini hari ini.

Titah baginda, diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam (SAW) itu dilengkapkan dengan ilmu dan kepimpinan, dua komponen yang sangat penting untuk mensejahterakan kehidupan ummah.

“Jawatankuasa Penganjur memilih ‘Kepemimpinan Dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ sebagai tema Muzakarah, agar Muzakarah ini dapat diteliti sumber yang telah menyuntikkan kekuatan kepada barisan pemerintah pada era kegemilangan Islam,” titah baginda.

Titah baginda lagi, Ulama dan Umara adalah pewaris Nabi iaitu Ulama mewarisi ilmu manakala Umara mewarisi kepimpinan selain Ulama merupakan sumber ilmu dan Umara pula merupakan sumber kepimpinan.

“Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dengan Umara. Sabda Rasulullah (SAW) bermaksud:

“Dua golongan utama di kalangan umat manusia, apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah umat manusia; dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia, iaitu Ulama dan Umara,”titah baginda.

Baginda bertitah Ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar di dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan manakala Umara pula dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal,berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat.

Umara adalah satu keperluan di dalam masyarakat kerana tanpa Umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan.

“Sabda Rasulullah (SAW) bermaksud:“Pemimpin itu ibarat perisai; orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya.”kerana itu ALLAH Subhanahu Wata’ala menjanjikan kepada mereka tempat yang tinggi dan mulia pada hari akhirat, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

“Manusia yang paling dikasihi ALLAH dan diberi tempat yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci ALLAH dan diletakkan di tempat yang paling jauh sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim.”

“Ada tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh Allah SWT di bawah bayang Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang Nya sahaja (salah satu daripadanya ialah) pemerintah yang adil.”

Titah Sultan Perak, Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qal’i dalam kitabnya Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah menjelaskan “Sekiranya tidak ada seorang pemimpin yang dipatuhi, nescaya pudarlah kemuliaan Islam.

“Sekiranya tidak ada pemimpin yang berkuasa, maka hilanglah kestabilan keamanan dan terputuslah jalan kemakmuran. Negara berjalan tanpa undang-undang, anak-anak yatim terbiar dan ibadah haji tidak dapat dilaksanakan.

“Jika tidak ada pemimpin, nescaya sebahagian orang akan berleluasa memakan harta sebahagian yang lain” dan begitu juga pendapat tentang keharusan adanya pemimpin yang ditaati, oleh Ibn al-Mu’tazz berkata: “Rosaknya rakyat karena tidak ada pemimpin seperti rosaknya badan tanpa roh.”

“Di sisi Allah SWT, Ulama dan Umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah ALLAH SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah, Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).

“Sejarah mencatatkan, di kalangan para pemimpin Islam yang memiliki nama-nama besar, mereka tidak terpisah daripada bimbingan Ulama, seperti Khalifah Harun al-Rasyid bersama Yahya ibn Khalid Al-Barmak, Shalahuddin Al Ayyubi bersama Bahauddin bin Shaddad, dan Sultan Muhammad Al Fatih dengan bimbingan Aq Samsuddin dan Syeikh al-Kurani.

Imam al-Ghazali turut memperingatkan kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama, tegas beliau:

“Adalah menjadi kebiasaan bagi para Ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat percaya bahawa ALLAH akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau sudah ditakdirkan begitu.

“Oleh kerana mereka itu ikhlas hati, orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat mereka.

“Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.

Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

“Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar,” titah baginda.