PARIT: Sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin negeri Perak akan diserahkan kepada Muslim Care Malaysia untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Sumbangan RM100,000 kerajaan negeri kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Perak yang diumumkan Menteri Besar baru-baru ini akan diserahkan kepada Muslim Care Malaysia.

“Sumbangan ini akan diserahkan bersama-sama sumbangan lain yang sedang dikumpul melalui beberapa pihak di bawah tabung yang sama,” katanya kepada pemberita pada program Penyampaian Sumbangan Palestin Parlimen Parit, di Surau Al Munnawarah, Seri Iskandar di sini semalam.

Menurut Mohd Nizar, kutipan tabung berkenaan akan diserahkan dalam masa terdekat di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ipoh.

“Penyerahan mungkin akan dilaksanakan dalam minggu depan. Yang penting ia akan diserahkan dalam masa terdekat dan kita sedang merancang untuk serahkan kepada Muslim Care Malaysia di bangunan SUK.

“Menteri Besar akan hadir untuk menyerahkannya dan kita akan buat lintas langsung dengan wakil Muslim Care Malaysia di Palestin bagi mendapat perkhabaran mengenai keadaan di sana,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran kutipan tabung berkenaan, Mohd. Nizar berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran namun berharap semua rakyat di negeri ini dapat memberi sumbangan.

“Setakat ini tidak ada sasaran kutipan selain RM100,000 yang disumbang kerajaan Perak dan kutipan ini sedang dijalankan, jadi kita akan lihat nanti keseluruhannya berapa.

“Saya yakin dan percaya umat Islam dan rakyat di Perak akan memberi sumbangan bagi membantu rakyat Palestin,” katanya.

Ketika pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Perak baru-baru ini, Saarani meminta bantuan Mohd. Nizar  bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar.

Ini kerana Mohd. Nizar terlibat aktif dalam misi kemanusiaan ke Palestin sebelum ini. – UTUSAN ONLINE