SERI ISKANDAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu di sini, hari ini.

Baginda turut melawat pameran mengenai kompleks itu serta menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Kompleks itu yang dibangunkan dengan kos RM9.4 juta pada penghujung 2010, siap sepenuhnya pada Oktober 2013.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

MDPT yang ditubuhkan pada 1 Disember 1979 terletak di Pekan Parit di sini sebelum berpindah ke Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini, pada 23 September 1993.

MDPT kemudian membina bangunan sendiri selepas hampir 20 tahun beroperasi di kompleks lama dan berpindah ke kompleks baharu pada 21 Oktober 2013 dengan jumlah kakitangannya kini seramai 115 orang.