TEKS PENGGULUNGAN

YB DATO’ DRS MOHD NIZAR BIN HJ ZAKARIA
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA,
DEWAN UNDANGAN NEGERI KE–13
PERAK DARUL RIDZUAN
06 APRIL 2015

Hari Kelima – 6  April  2015 (Isnin)

بسم الله الرحمن الرحيم

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Perak Amanjaya

 الحمد الله رب العالمين وصلاة والسلام على اشراف الأنبياء والمرسلين وصحبه اجمعين

 Yang Berhormat Dato’ Sri Yang Dipertua,

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Perak Darul Ridzuan,

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kerajaan, Para Pemerhati, Rakan-rakan Media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan.

Salam persidangan saya hulurkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat.  Semoga kehadiran kita dikira ibadah oleh Allah SWT.

Saya merafak sembah serta menjunjung kasih Titah Perasmian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Ketiga, Dewan Negeri Yang Ke-13 Perak Darul Ridzuan pada 31 Mac 2015 yang lalu dan saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk turut serta mendengar, meneliti dan mengamati titah ucapan tersebut sebagai pedoman dalam membangunkan Negeri Perak yang tercinta ini.

Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan manusia dan telah mengajarkan manusia bayan (kuasa bertutur dan menjelaskan) serta menurunkan manusia Al-Quran dan telah menjadikan Ia peringatan, penawar, petunjuk, dan rahmat kepada sekelian makhluknya. Selawat dan salam yang selengkapnya dan yang paling sempurna keatas baginda Nabi Muhammad SAW yang merupakan sebaik-baik mahkluk di kalangan jin dan manusia membawa rahmat bagi sekelian alam.

Selawat dan salam juga ke atas keluarga dan para sahabat baginda SAW yang merupakan bintang petunjuk dan penyebar al-Quran dan juga keatas sesiapa sahaja yang mengikuti baginda SAW dengan penuh keimanan.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadhrat Ilahi kerana dengan rahmat dan izin-Nya pada hari ini kita dipertemukan sekali lagi untuk bertukar-tukar pandangan, cadangan dan perbahasan tidak lain tidak bukan untuk memastikan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Izinkan saya membuka penggulungan dengan memetik Surah Al-Isra, ayat 36 ;-

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٦

Dan Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Seseungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya mengenainya.”

Di dalam tafsir al-Qurtubi menyatakan; mereka semua akan ditanya tentang apa yang dilakukan oleh mereka. Hati ditanya tentang apa yang dia fikirkan dan dia yakini. Pendengaran dan penglihatan akan ditanya tentang apa yang dia lihat, dan pendengaran ditanya tentang apa yang ia dengar. Semua anggota tubuh akan diminta pertanggungjawaban di hari kiamat kelak.

Menjadi harapan saya dengan ayat ini, ia dapat membuka hati-hati yang tidak tenang di kalangan umat Islam dan rakyat. Supaya tidak membuat sesuatu tindakan membuta tuli tanpa memikirkan akibatnya sepertimana insiden berpakaian serba hitam di upacara Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-13 Selasa lalu oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sehingga mengundang perbuatan tidak menghormati kepada ulul amri.

Dato` Sri Yang DiPertua Dewan dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan ada menyentuh tentang tuntutan ILAHI untuk menunaikan zakat dan kutipan zakat telah mencatatkan peningkatan dari individu, badan korporat mahupun entiti perniagaan pada tahun 2015. Zakat bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada sesebuah negara dalam menjamin kemaslahatan rakyat keseluruhannya. Zakat bukan sahaja mampu membasmi kemiskinan terhadap golongan asnaf, malah ia juga mampu meningkatkan ekonomi melalui penyediaan kemudahan asas kepada golongan yang memerlukan.

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mengukuhkan institusi zakat dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai melalui agihan semula kekayaan.

Selari dengan anjuran Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 273

قال الله تعالى :

لِلۡفُقَرَآءِ ٱلَّذِينَ أُحۡصِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسۡتَطِيعُونَ ضَرۡبٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ يَحۡسَبُهُمُ ٱلۡجَاهِلُ أَغۡنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعۡرِفُهُم بِسِيمَٰهُمۡ لَا يَسۡ‍َٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلۡحَافٗاۗ وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui “ –(Surah Al-Baqarah : 273)

Paduka Seri Sultan juga ada menyebut Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera yang berdaftar di negeri Perak hanya 20 peratus dari keseluruhan perniagaan berdaftar di Perak iaitu 60,028. PKS semakin berperanan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negara amnya dan negeri Perak khasnya. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif baru perlu dihasilkan dalam menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan yang dapat meningkatkan taraf ekonomi individu tersebut dan seterusnya berupaya membangunkan modal insan melalui penjanaan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Islam mementingkan asas pengetahuan dalam pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan bukanlah satu usaha yang boleh diambil mudah.

Surah Yusuf: 76

قال الله تعالى :

نَرۡفَعُ دَرَجَٰتٖ مَّن نَّشَآءُۗ وَفَوۡقَ كُلِّ ذِي عِلۡمٍ عَلِيمٞ

“…(Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui “ – (Surah Yusuf : 76)

Pendidikan menjadi asas kepada pembinaan sesebuah bangsa dan negara. Dalam era ekonomi dunia masa ini, kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada ilmu pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyat.

Melalui pendidikanlah akan melahirkan individu profesional samada menjadi ahli perniagaan, usahawan, doktor, guru, ustaz, dan lain-lain. Pendidikan menyediakan peluang kepada individu untuk meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

Saban tahun DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan berkenan mencemar duli bagi memberi pengiktirafan yang tinggi kepada warga pendidik dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Perak. Baginda Sultan juga turut menganugerahkan hadiah, sijil dan penghargaan kepada warga pendidikan sekolah agama sebagai tanda mengiktiraf dan mengenang jasa institusi dan individu yang banyak menyumbang ke arah perkembangan Pendidikan Islam di negeri Perak khususnya.

 

Dato’ Sri  Yang Dipertua,

Saya akan menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat ketika perbahasan ketika perbahasan Titah Perasmian DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Yang Berhormat Changkat Jering ada membangkitkan mengenai pusat khusus bagi pengusaha kecil dan Sedahana (PKS) dalam industri pelancongan dan Warisan Melayu.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang berhormat, Kerajaan Negeri melalui SME Corp. Malaysia telah memperkenalkan program peningkatan pengupayaan PKS Bumiputra (BEEP) bertujuan melahirkan syarikat usahawan yang dinamik dan berdaya saing dimana program ini separuh modal manakala separuh lagi berupa pinjaman. Bagi meningkatkan keupayaan perniagaan tersebut, bantuan yang disalurkan merangkumi ubahsuai, mesin promosi, pensijilan, peningkatan kualiti serta pembungkusan terus kepada pemasaran barangan keluaran syarikat.

Tempoh pemantauan keatas syarikat yang berjaya adalah selama 24 bulan. Pemilihan syarikat adalah berdasarkan penilaian dan cadangan bersama dengan agensi keusahawanan sedia ada seperti MARA, PUNB, TEKUN dan Jabatan berkenaan yang lain.

Sejak tahun 2012, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan geran sebanyak RM 5.44 ( Lima Perpuluhan Empat-empat Juta) yang melibatkan sebanyak 37 buah syarikat. Dengan tindakan ini maka syarikat bumiputera mampu berdaya saing dengan syarikat yang lain selaras dengan ucapan Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kepada industri pelancongan dan memperkasakan pengusaha PKS bumiputera.

Kerajaan  Negeri,  melalui  Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan lain-lain agensi berkaitan pelancongan akan melakukan kajian kesesuaian yang komprehensif bagi mengenal pasti  kawasan,  usahawan  serta  produk-produk berpotensi  agar  pusat  yang menempatkan pelbagai produk IKS dan warisan yang dicadangkan  itu  untuk  diketengahkan  sebagai  tarikan  pelancong yang seterusnya dapat memperkenalkan industri IKS Perak ke peringkat yang global.

 

Dato` Sri  Yang Dipertua,

Saya juga ingin menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Changkat Jering. Untuk makluman Dato’ Sri Yang DiPertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Perak sangat prihatin dan memandang berat perkara ini.

Sudah menjadi kebiasaan atau sunnah bagi setiap suatu yang dijadikan oleh Allah itu mesti ada teras atau tiangnya, kalau pokok ia ada akar tunjang, kalau manusia ia ada jantung hatinya, kalau bangunan ia ada tiang serinya. Begitulah juga dengan agama.Ia juga mempunyai teras atau tiang yang berfungsi untuk mempertahankan daripada segala macam jenis pencerobohan yang boleh meruntuhkannya. Jadi, tiang bagi Islam ialah solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

” Solat adalah tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya dia telah meruntuhkan agama”

Justeru itu, Kerajaan Negeri bersedia dengan cadangan Yang Berhormat Changkat Jering untuk melaksanakan kajian solat lima waktu oleh orang Islam di negeri Perak dan akan menentukan dan mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk digunakan dalam kajian tersebut.

 

Dato’ Seri Yang DiPertua,

Yang Berhormat Changkat Jering berkenaan mengazankan bayi di hospital. Syariat Azan dan Iqamah kepada bayi yang baru dilahirkan merupakan satu tuntutan agama yang hukumnya sunat. Walaupun begitu, tuntutan tersebut perlu dilaksanakan oleh bapa atau datuk kepada bayi tersebut. Jika sekiranya tiada waris yang berkelayakan untuk melaksanakan tuntutan ini, maka pihak hospital akan mengambil alih tugas ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setiap hospital di negeri ini mengamalkan konsep mesra ibadah dengan menempatkan seramai 2 orang Penolong Hal Ehwal Islam di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Hospital Seri Manjung dan Hospital Slim River

Penolong Hal Ehwal Islam tersebut, akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan fardhu kifayah berkaitan dengan kepentingan pesakit terutamanya soal pengurusan jenazah, mengazankan dan mengiqamahkan bayi yang dilahirkan.

Dato’ Sri Yang DiPertua,

Yang Berhormat Sungai Rapat telah mencadangkan beberapa perkara untuk meningkatkan penglibatan bumiputera serta Industri Kecil (IKS) serta memohon pendekatan konsep ‘Ali Baba’ ditukar kepada konsep mentor mentee di samping isu anak syarikat Kerajaan Negeri yang tidak bergerak aktif.

Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Rapat, Kerajaan Negeri melalui SME Corp. Malaysia telah memperkenalkan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2014 yang bertujuan melahirkan usahawan belia yang berjiwa kental lagi berdedikasi.

Semua peserta yang terpilih perlu menjalani kursus, 3 fasa merangkumi pembangunan sahsiah diri, fizikal dan mental didalam menjalani perniagaan. Peserta yang berjaya akan diberikan geran dengan nilai RM 15,000 ( Lima Belas Ribu ) seorang.

Bagi memastikan tiada pembaziran dan ketirisan geran yang diberikan maka konsep pemantauan dan bimbingan peserta berjaya dijalankan dipanggil “Buddy System” (dengan izin) dilaksanakan sendiri oleh kaunselor SME Corp. Selama 12 bulan bagi memastikan kelestarian perniagaan yang diceburi.

Insya Allah dengan bimbingan dan pemantauan yang berkala tersebut dapat menghindarkan pendekatan “Ali Baba” keatas perniagaan tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat,

Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Perak bergerak aktif mengikut matlamat yang telah digariskan.

 

Dato’ Sri Yang DiPertua,

Yang Berhormat Gunung Semanggol membangkitkan tentang kempen mengimarahkan masjid. Kerajaan Negeri sedar tiada tempat yang lebih dibumi ini selain masjid. masjid adalah tempat sumber ketenangan dan dipenuhi dengan keberkatan dari Allah SWT. diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW yang bermaksud

“Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah iaitu masjid , pasti akan diturunkan keatas mereka ketengan dan kerahmatan dari Allah SWT”

Kerajaan Negeri sentiasa menjalankan usaha-usaha yang berterusan untuk mengajak umat Islam kearah kebaikan seperti yang disebut hadith Nabi SAW diatas. diantara langkah-langkah yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perak adalah seperti berikut ;

1)      Pelaksanaan Kempen Jom Solat berjemaah di masjid telah pun dilakukan melalui program pengedaran pelekat kereta dan banner yang tertera perkataan jom solat berjemaah di masjid. Kempen ini telah dilaksanakan diseluruh negeri Perak.

2)      Di samping itu, bagi mencapai dan memahami peranan dan fungsi masjid jabatan agama islam perak telah menempatkan seramai 360 orang guru-guru takmir di masjid dan di surau di seluruh negeri perak.

3)      Bagi memperkasakan lagi fungsi dan peranan masjid, jabatan agama islam perak telah pun menubuhkan rakan masjid di seluruh negeri perak. penubuhan rakan masjid ini mempunyai dua ketogori iaitu rakan belia masjid dan rakan wanita masjid adalah dihasratkan dua kelompok sasaran utama ini mampu menghidupkan semula peranan dan fungsi masjid.

4)      Kerajaan Negeri melalaui usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perak telah meletakkan sasaran 16 masjid bestari di daerah yang terpilih sebagai langkah awal bagi melaksanakan konsep masjid bestari ini diseluruh masjid di negeri perak.

 

Dato’ Seri Yang Dipertua,

Berkenaan soalan yang dibangkitkan Yang Berhormat Gunung Semanggol berkaitan menyemarakkan solat dan zakat dikalangan umat Islam khususnya di Negeri Perak.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara solat dan zakat memang tidak dapat dipisahkan bagaikan aur dan tebing. Bagi solat, ia lebih menekankan kepada membina hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablunminallah) sedangkan zakat lebih menekankan kepada hubungan sesama manusia (Hablunminanas). Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Perak (MAIPK) melaksanakan usaha-usaha membantu umat Islam yang tergolong sebagai asnaf dengan pemberian wang zakat dapat membantu mengeluarkan mereka daripada tekanan ekonomi dan kemiskinan. antara bentuk-bentuk yang dilaksanakan adalah seperti menyediakan bantuan modal perniagaan melalui baitul mal menaja wang pembelajaran anak-anak asnaf bagi melanjutkan pelajaran pada semua peringkat termasuk kepada kursus-kursus berbentuk kemahiran. Ini bertujuan dengan ilmu yang dibekalkan dapat meningkatkan  sosiol ekonomi dan kelastarian keluarga.

Selain itu juga bagi asnaf yang lanjut usia dan uzur, Kerajaan Negeri melalui baitul mal menyediakan bantuan kos sara hidup diantara RM 100 hingga RM1000 sebulan. Pihak baitul mal juga menyediakan bantuan bayaran sewa rumah antara RM 150 hingga RM 500 sebulan.

Bagi asnaf yang mempunyai rumah yang uzur pihak baitulmal menyediakan bantuan baikpulih rumah RM 500 hingga RM20,000 bagi yang tidak  mempunyai rumah kerajaan menyediakan bantuan membina rumah baru yang bernilai antara RM38,000 hingga RM 44,000.

Berkenaan solat kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan besar dalm pembinaan masjid dan surau di seluruh negeri perak dengan menyediakan guru-guru taqmir atau guru-guru tauliah bagi untuk mengimarahkan majlis ilmu dan kepentingan solat untuk umat islam bertujuan menyerapkan nilai betapa pripenting nya ibadah solat dalam kehidupan umat islam. pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga menyediakan saguhati  kepada guru taqmir sebanyak RM800 sebulan bergantung kepada jumlah jam pengajaran. Selain itu juga guru-guru tauliah dibekalkan elaun tahunan oleh kerajaan negeri sebanyak RM 450 sebulan dan saguhati oleh jawatankuasa masjid.

 

Dato’ Sri Yang DiPertua,

Yang Berhormat Gunung Semanggol bertanyakan tentang pengambilan guru-guru Tahfiz yang ditempatkan di Sekolah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz. Sebagaimana YB. sedia maklum, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) iaitu Sekolah Izuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah serta Maahad Tahfiz Darul Ridzuan melaksanakan tiga aliran iaitu Aliran arus perdana yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aliran Azhariah dan Tahfiz. Kerajaan Negeri sangat komited untuk  melahirkan profesional Islam yang menghafaz Al-Quran melalui pelaksanaan ketiga-tiga aliran ini. Oleh itu, pandangan bahawa pelantikan guru-guru hanya melibatkan guru-guru akademik sahaja adalah tidak berasas.

Untuk menyokong pelaksanaan Aliran Azhariah di SMAN dan Maahad Tahfiz, Kerajaan Negeri telah meluluskan 20 jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih Gred DC41 yang bertanggungjawab untuk mengajar matapelajaran I’dadi, Thanawi, Pendidikan Islam dan Tasmi’Al-Quran di SMAN dan Maahad Tahfiz ini. Semua calon yang berhasrat memohon jawatan ini akan ditapis dari segi kelulusan akademik iaitu memiliki Ijazah dalam bidang Pengajian Islam / Usuluddin / Syariah / Qiraat Al-Quran atau lain-lain yang bersesuaian daripada universiti di dalam atau luar negara.

Pelantikan ke jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih Gred DC41 adalah kerana kebanyakan graduan Sarjana Muda tidak mempunyai Diploma Pendidikan yang 5melayakkan mereka untuk dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.

Walaupun begitu, Jabatan Agama Islam dengan bantuan sumbangan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah menghantar guru-guru yang belum memiliki Diploma Pendidikan untuk melayakkan mereka menjawat jawatan di Gred DG41. Dengan pengisian jawatan ini, maka ia akan melengkapkan tenaga pengajar di SMAN tersebut.

 

Dato’ Sri Yang DiPertua,

Untuk menjawab soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Titi Serong berkaitan kempen 1 keluarga 1 hafiz, marilah kita merenung sebentar firman Allah Taala dalam surah Al-Hijr ayat 9:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩

“ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya..”

Untuk makluman YB Adun Titi Serong,  kerajaan negeri telah mengambil pelbagai tindakan dan inisiatif  dalam usaha meningkatkan bilangan huffaz di negeri Perak dengan kata lain satu rumah seorang hafiz.

Sidang Dewan yang dihormati,

Diantara langkah-langkah yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk menyemarakkan cinta, baca dan hafal al-Quran bermula dengan pembelajaran Kelas Fardhu Ain KAFA untuk menghidupkan al-Quran dihati. Selain dari langkah-langkah diatas, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Wal Qiraat dan Sekolah Menengah  Tahfiz Daerah di setiap daerah. Kerajaan Negeri juga menyediakan insentif kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz negeri Wal Qiraat sebanyak RM 550 setiap bulan dan tiada yuran bulanan.

Disamping itu juga, mulai tahun 2011, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan kurikulum tahfiz di Sekolah Menengah Agama Negeri yang menawarkan 3 aliran pendidikan iaitu Aliran Pendidikan Perdana Kementerian Pendidikan, Aliran Azhariah dan ditambah dengan Aliran Tahfiz dan juga Kerajaan Negeri sentiasa menerima Pendaftaran Sekolah–Sekolah Tahfiz Swasta di negeri Perak.

Sidang Dewan Yang Dihormati,

Tanggungjawab bagi melahirkan satu rumah satu hafiz adalah secara kolektif diantara kerajaan dan rakyat. Usaha-usaha yang mulia ini berpisah tiada, gandingan bersama kerajaan dan rakyat. Kerajaan negeri mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT dengan usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi menyemarakkan kempen cinta al-Quran dapat melahirkan sebuah keluarga yang mencintai al-Quran seterusnya merialisasikan hasrat bersama satu keluarga satu hafiz.

 

Dato’ Sri Yang DiPertua

Yang Berhormat Lubuk Merbau ada bertanyakan kriteria bagi golongan wanita untuk mendapatkan bantuan kewangan dalam menjalankan perniagaan. Wanita merupakan sebahagian besar daripada populasi masyarakat Malaysia. Sumbangan besar kaum wanita kepada pembangunan negara sememangnya telah lama diiktiraf. Sebagai isteri, ibu dan anak, mereka merupakan tunggak utama dalam membentuk generasi Malaysia yang penyayang dan progresif di masa hadapan.

Peranan wanita yang semakin penting dalam ekonomi menjurus kepada keperluan untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi bagi membolehkan pencapaian ekonomi dan sosial yang mampan serta beroperasi pada tahap tinggi.

Kerajaan tidak pernah mengenepikan peranan wanita dalam menyumbang  ke arah pembangunan. Jasa wanita tidak ternilai dalam membentuk masyarakat sejak dulu lagi, tidak pernah dinafikan.

Untuk menjawab soalan Yang Berhormat,

Pelbagai jenis bantuan kewangan kepada golongan wanita dalam sektor perindustrian dan perniagaan disediakan oleh Kerajaan merangkumi golongan keterbawahan iaitu miskin tegar ,miskin dan mudah miskin dikendalikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan seperti kemudahan pinjaman tanpa faedah di samping geran yang disediakan oleh BaitulMal.

Bagi golongan wanita yang menceburi perniagaan berskala sederhana, Tekun Nasional  dan  MARA pula bersedia membantu di samping institusi kewangan tempatan yang sedia ada. Manakala bagi perniagaan berskala besar dan bermodal tinggi, SME Bank bersedia membantu bagi memacu  kejayaan usahawan. Kita amat maklum akan kekurangan kemahiran Usahawan menyediakan dokumen dan kertas kerja (working paper), PKNPk  diberi tanggungjawab  membantu manakala SME Corp pula  menyediakan kursus bimbingan dan mendedahkan potensi serta  penambahbaikan perniagaan serta mesin pemprosesan yang bersesuaian dikendalikan oleh MARDI.

Dari sudut pemasaran selain dari FAMA, Kerajaan Negeri memainkan peranan  di bawah PKNPk dalam menyediakan Pusat Industri Desa atau Distribution Center. Sejak penubuhan pada Ogos 2014, seramai 11 orang usahawan wanita telah berjaya menempatkan barangan industri desa mereka. Antara syarat asas yang perlu bagi mendapatkan bantuan tersebut adalah berumur antara 18 hingga 60 tahun, perniagaan berdaftar Pejabat Pendaftaran Syarikat (SSM) serta mempunyai kesungguhan dan berdaya maju.

Ucapan terima kasih kepada semua agensi agensi terlibat yang senantiasa bekerjasama dan tidak mengenal  jemu dalam membantu Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang memerlukan. Sesungguhnya Kerajaan BN menepati janji bukannya meracuni pemikiran rakyat.

 

Dato’ Sri Yang DiPertua,

Izinkan saya memetik sepotong ayat Al-Quran dari Surah Al-Ankabut ayat 69:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٦٩

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya “

Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat agar matlamat yang digariskan terlaksana. Saya menyeru kepada semua sidang dewan agar kita terus berganding bahu walaupun kita berbeza ideologi tetapi mempunyai matlamat yang sama bagi memastikan Rakyat Sejahtera, Perak Aman Jaya.

Bagi mengakhiri ucapan penggulungan ini ingin saya nukilkan Dua rangkap pantun

Cantik bergugus buah papaya,

Masak dipetik satu per satu;

Walaupun berlainan bangsa budaya,

Kerana muhibah hidup bersatu.

 

Petang hari pergi ke pekan,

Pulang membawa sebungkus laksa,

Hidup muhibah perlu diamalkan,

Di Negeri Perak  berbilang bangsa.

Sekian, Wabillahitaufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakutuh. Terima kasih.

MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEDUA

DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG KETIGA BELAS

PERAK DARUL RIDZUAN
MULAI 8 DISEMBER 2014

 

Hari Kelima – 19 Disember 2014 (Jumaat)

TEKS UCAPAN PERGULUNGAN PERBAHASAN  YB. DATO’ DRS. MOHD NIZAR BIN HJ. ZAKARIA

PEMBUKAAN

 

Bismillahirrahmannirrahim, Assalamualaikum w.b.t Salam Sejahtera,

Salam 1Malaysia, Salam Perak Aman Jaya

الحمد الله رب العالمين وبه نستعين وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمد عبده

ورسوله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين…

Yang Berbahagia Dato’ Sri Yang DiPertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Di Raja Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Pemerhati-pemerhati yang saya hormati Sekalian.

 1

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. – ( Surah Al-Maidah : 8 )

Alhamdulilah, Mari kita Zahirkan rasa syukur ke hadrat Tuhan Rabbul Izzati, yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan Zat Limpah kurnia yang diberi, kita dapat meneruskan persidangan ini dalam Ucapan Penggulungan Perbahasan, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Perak yang Ketiga Belas. Juga Selawat dan Salam ke atas Junjungan Kita Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat.

Sesungguhnya, kejayaan yang telah dan sedang dinikmati pada masa ini tidaklah datang bergolek dan tidak terhidang diatas dulang emas. Ia hasil ikatan sebuah kerajaan Negeri Perak yang prihatin dan bersama-sama dokongan rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada sebuah kerajaan yang bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan berkesan. Kerajaan pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat negeri ini yang bukan menjanjikan bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba seperti sesetangah pihak, tetapi adalah sebuah kerajaan yang saban hari memikir, merancang dan melaksanakan dasar Perak Amanjaya untuk mencapai kebahagiaan, Kemakmuran, kesejahteraan untuk rakyat

Dalam kesempatan ini, saya rakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Di Raja Menteri Besar Perak Darul Ridzuan di atas pembentangan bajet tahun 2015 dimana setelah diamati ia merupakan Bajet yang prihatinkan rakyat dan juga menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi Negeri.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

 

Terima Kasih kepada Ahli Yang Berhormat Hulu Kinta telah membangkitkan isu, kesuraman kawasan perindustrian halal MARA di Tambun kecuali pada waktu karnival.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, asas penubuhan Kawasan Industri MARA (KIM) @ Halal Park Tambun diwujudkan bagi membangunkan usahawan Bumiputera kelas pertengahan yang terlibat di dalam pemprosesan dan pengeluaran produk di bawah industri kecil dan sederhana. Hampir 90% usahawan di dalam Halal Park Tambun terlibat dalam pemprosesan dan pengeluaran makanan, antaranya produk yang diusahakan adalah Mee Geti, Produk Sejuk Beku (Frozen Food), Air Minuman dan sebagainya. Halal Park Tambun secara dasarnya bukan pusat jualan setempat tetapi tertumpu kepada proses pengeluaran. Usahawan akan memasarkan produk mereka melalui proses pengedaran tersendiri.

Walaubagaimanapun, bagi menggalakkan pembangunan industri halal dan memperkenalkan produk usahawan di Halal Park Tambun, setiap tahun MARA menganjurkan Karnival Halal Fest di kawasan ini. MARA turut menganjurkan, Karnival Pendidikan terbesar MARA di kawasan tersebut pada setiap tahun.

Pengunjung yang hadir di Halal Park Tambun ini kebanyakannya adalah pengunjung berkumpulan melalui rombongan pelancong, pelajar IPT dan sekolah. Bagi meningkatkan jumlah pengunjung atau pembeli persendirian, MARA mensasarkan pengwujudan pusat jualan sehenti yang bakal mengumpulkan produk-produk usahawan KIM yang akan dijual secara runcit.

MARA juga merancang untuk meningkatkan “keceriaan” kawasan Kawasan Industri MARA (KIM) melalui pembinaan direktori dan penunjuk arah di seluruh kawasan ini. Kerajaan Negeri mengambil maklum saranan dan cadangan YB Adun Hulu Kinta berkaitan pengwujudan takwim tahunan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Teja dan Yang Berhormat Titi Serong yang telah membangkitkan isu, untuk mewujudkan satu kuota khas kepada Naib-Naib Khadi(Teja) menunaikan ibadah haji dan umrah seperti yang diberi kepada Ketua Kampung,bekas pegawai kerajaan atau pesara diperingkat negeri perak.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Perak melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Bil.887 bertarikh 7 September 1977 telah meluluskan pengkurniaan bagi menunaikan Fardhu Haji seramai 5 orang sahaja kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan Cerai dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

Pada Tahun 2010,Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan tambahan bilangan kurniaan tersebut daripada 5 orang kepada 10 orang setiap tahun melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil.1241/03/11/2009 bertarikh 23 November 2009.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhortmat sehingga kini dianggarkan sejumlah 200 orang telah menunaikan Fardhu Haji melalui peruntukan Kerajaan Negeri sejak kedua-dua keputusan tersebut dikuat kuasakan.

Kerajaan Negeri turut memberi anugerah Haji percuma kepada pegawai-pegawai masjid di seluruh Negeri Perak yang terdiri daripada imam, bilal dan siak mengikut kuota masing-masing. Begitu juga Kerajaan Negeri turut menganugerahkan haji percuma kepada Pendaftar Perkahwinan yang terdiri daripada penjawat awam kategori Pegawai Hal Ehwal Islam.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Lintang telah membangkitkan isu, ketiadaan Pejabat Agama di Sungai Siput. Mencadangkan membina sebuah Pejabat Agama Daerah di kawasan tersebut.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Perak melalui Peruntukan Pembangunan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), telah menyenaraikan cadangan pembinaan Pejabat Agama Daerah Sungai Siput di dalam senarai projek-projek di bawah RMK-11 yang dijadualkan, bermula pada tahun 2016 dan telah dikemukakan kepada pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Dalam masa yang sama, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang dalam rundingan dengan pihak Pentadbir Tanah Daerah bagi mengenalpasti tapak yang

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Lubok Merbau kerana membangkitkan isu, cadang mewujudkan perkampungan warga emas.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Perak berhasrat mewujudkan perkampungan warga emas yang dilengkapi sebuah kompleks pentadbiran, dewan pengajian, unit pentadbiran, surau dan kemudahan yang sesuai.

Berdasarkan kepada fokus bajet tahun 2015, fokus yang ketiga ialah mengupayakan modal insan yang cemerlang maka Kerajaan Negeri akan mewujudkan pondok bagi warga emas sebagaimana hadith :

اطلبوا العلم من المهد الى اللهد

Kerajaan Negeri tidak meminggirkan warga emas . Keprihatinan Kerajaan Negeri bukan sahaja kepada pendidik di sekolah rendah dan menengah tetapi juga berterusan hingga ke warga emas. Dengan ini dapat melahirkan modal insan yang seimbang dan cemerlang di dunia dan akhirat.

من سلك طريق يلتمس فيه علما سهل الله له به الى الجنة

“Barang siapa yang memilih jalan yang ada padanya ilmu maka akan Allah akan memudahkan jalan baginya ke Syurga “(Riwayat Muslim )

Salah satu tempat yang telah dicadangkan ialah di :

     i.        Tanjung Kepah, Mukim Lekir Setiawan.

Kompleks ini akan diselenggara oleh Jabatan Agama Islam Perak dimana ia menawarkan penempatan kepada golongan yang dikategorikan warga emas yang masih mampu menguruskan diri. Penempatan dan pengajian bagi warga emas yang menetap di sini akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perak. Manakala makan dan minum ditanggung oleh peserta perkampungan itu sendiri. Peserta yang menghuni di sini dibenarkan memasak untuk keperluan sendiri.

Peserta yang menghuni di sini akan mengikuti pengajian kelas agama yang ditawarkan mengikut silibus seperti pengajian Al-Quran, tajwid dan fardhu ain dan lain-lain.

Setakat ini cadangan pembinaan Pondok Warga Emas ini telah pun disenaraikan dalam senarai cadangan projek-projek di bawah RMK-11 yang dijadualkan bermula pada tahun 2016 dan telah dikemukakan kepada UPEN. Bagi kerja-kerja awalan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2015.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

 

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Titi Serong telah membangkitkan isu, cadangan untuk penambahan elaun guru KAFA.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah menaikan elaun guru KAFA Negeri Perak semenjak 3 tahun yang lalu dan Kerajaan Negeri juga turut menambah RM200. Purata seorang guru KAFA menerima RM1,000 sebulan untuk tempoh mengajar 3 jam sehari. Selain daripada elaun peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, guru KAFA juga menerima bantuan perkapita daripada :

     i.        Kerajaan Negeri

    ii.        Kerajaan Persekutuan

   iii.        MAIPk

Jumlah elaun yang di terima oleh seorang guru KAFA adalah antara RM1,200 hingga RM1,300 sebulan. Selain itu juga kerjaan negeri berkerjasama dengan Koperasi Orang Melayu Kerajaan Berhad (SKOMK) bagi memberi kemudahan pinjaman kepada guru-guru KAFA untuk mendapatkan pinjaman mulai November 2014.Sehingga kini seramai 400 Orang guru KAFA telah mendaftar sebagai ahli SKOMK mereka akan mendapat kemudahan pinjaman daripada koperasi, ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Kepada guru-guru KAFA seperti mana yang di nikmati penjawat awam yang lain. Selian itu kerajaan Negeri juga menyediakan Takaful Berkolompok kepada mereka serta memberikan elaun kepada guru-guru yang bersalin.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima kasih Ahli Yang Berhormat Titi Serong kerana telah mencadangkan untuk membina dan menambahkan lagi pusat-pusat pemulihan dan latihan aqidah.

Kerajaan Negeri setakat ini belum bercadang membina pusat pemulihan aqidah yang khas untuk negeri Perak memandangkan terdapatnya Pusat Pemulihan Aqidah Jakim di Jelebu, Negeri Sembilan yang boleh dijadikan lokasi untuk sebarang kes pemulihan. Pusat ini mampu menampung keperluan kerana bilangan kes pemulihan Aqidah di sana tidaklah mencapai angka yang besar. Bagaimanapun jika keadaan amat mendesak dan memerlukan Kerajaan Negeri tidak mempunyai halangan untuk mempertimbangkan membina pusat tersebut bagi menangani kes serupa yang berlaku di negeri Perak DR di masa hadapan.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Selain itu, Ahli Yang Berhormat Titi Serong telah menyuarakan isu, kenaikkan serta pnyelarasan gaji tenaga pengajar dan penambahan bantuan kepakaran guru di Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri telah mengkaji dari segi penstrukturan yang melibatkan penambahan dan kenaikan pangkat guru-guru sekolah tersebut. Kertas kerja penstrukturan semula ketiga-tiga buah sekolah menengah agama negeri termasuk Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah telah disiapkan dan akan di hantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk tindakan seterusnya. Selain daripada itu, jabatan Agama Islam Perak telah memberi peruntukan tambahan kepada Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah bagi menampung pembayaran elaun tenaga pengajar sekolah tersebut.

Kerajaan Negeri telah membantu dalam meningkatkan kepakaran guru-guru dengan mengadakan bangkel, Seminar dan Kursus yang di bimbing oleh guru-guru pakar daripada kementerian pendidikan Malaysia. Guru-guru pakar ini bukan sahaja membimbing guru-guru di sekolah, malah mereka juga turut membimbing pelajar-pelajar. Hasil daripada program ini kejaayaan SMAN menjadi kelompok 10 Buah sekolah terbaik di Negeri Perak telah menjadi Kenyataan.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima Kasih kepada Ahli Yang Berhormat Selinsing yang telah membangkitkan isu mengenai penyelarasan buku teks, elaun bulanan, yuran bulanan bagi Sekolah Agama Rakyat Negeri Perak.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setiap Sekolah Agama Rakyat di tadbir oleh Jawatankuasa Jemaah Pengurusan Sekolah seperti mana yang dinyatakan di dalam Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996.

Di dalam Enakmen ini di bahagian (15) dinyatakan,

Antara tugas Jemaah Pengurusan adalah :

a)   Melantik kakitangan sekolah atas apa-apa terma dan syarat melantik sekolah memungut dan menerima yuran dan bayaran yang lain.

b)   Kena dibayar daripada pelajar atau ibubapa atau penjaga pelajar sekolah itu untuk menerima dan memungut bayaran lain.

c)   Bagi sekolah termasuk pemberian daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis, Badan Berkanun atau derma daripada mana-mana orang atau pertubuhan.

Oleh yang demikan, pihak sekolah boleh mengenakan apa-apa yuran yang difikirkan perlu setelah mendapat persetujuan daripada pihak Jemaah Pengurusan Sekolah. Jabatan hanya menyelaraskan kurikulum pendidikan, pengajaran dan latihan guru, penggunaan buku teks, program latihan guru, peperiksaan dan aktiviti lain, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam (Rujuk Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam Bahagian (16).

Buku latihan atau buku kerja yang digunakan oleh pelajar di Sekolah KAFA adalah mengikut keperluan sekolah sebagai bahan tambahan untuk pelajar sekolah berkenaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, elaun bulanan yang diterima oleh guru KAFA adalah di bawah bidang kuasa Jemaah Pengurusan Sekolah selaku majikan mereka. Jemaah Pengurusan Sekolah membayar elaun kepada guru-guru yang dilantik mengikut kelulusan, kemahiran dan pengalaman yang ada pada guru-guru tersebut.

Manakala yuran bulanan pelajar yang berbeza adalah mengikut persiapan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah. Ini termasuk aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan oleh sekolah berkenaan. Terdapat sekolah yang menyediakan pengangkutan, makanan dan kemudahan lain.

Dato’ Seri Yang Dipertua,

Ahli Yang Berhormat Bukit Chandan telah membangkitkan isu, pohon Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada industri Labu Sayong. Ini kerana terdapat pengusaha yang kekurangan modal untuk meneruskan perniagaan ini. Selain itu di pohon pihak Kerajaan Negeri untuk memberi perhatian terhadap pasaran produk Labu Sayong ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Kesukaran yang dihadapi industri tembikar termasuk Labu Sayong kebelakangan ini disebabkan faktor ekonomi iaitu kurangnya permintaan pengguna terhadap produk yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada 128 usahawan kraf terutamanya di daerah Kuala Kangsar. Antara sebab-sebab yang dikenalpasti adalah pengeluaran produk yang hampir sama, pilihan pengguna lebih kepada barangan harga rendah dan lambakan barangan import yang murah

Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Perak berusaha memajukan industri kraf tembikar yang berasaskan tanah dengan langkah-langkah berikut :

a)   Insentif berupa pembangunan produk dengan menyediakan rekabentuk baru melibatkan usahawan kraf di sayong yang komited untuk meneruskan perusahaan ini dengan member bantuan acuan produk baru.

b)   Menggalakkan pengeluaran produk berkualiti untuk pasaran dalam negara bagi barangan tembikar sebagai kegunaan dan hiasan.

c)   Mempromosikan produk melalui jualan terus kepada pengguna, misalnya 51 kali di dalam Perak, 6 kali di pusat membeli belah utama.

d)   Membangunkan beberapa usahawan niaga yang mempunyai kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Kangsar dan Ipoh yang dapat memasarkan produk keluaran usahawan tempatan.

Selain usaha meningkatkan pasaran, pihak Kraftangan Malaysia juga mengadakan makmal teknikal bagi penambahbaikan pengeluaran dan kemahiran tenaga kerja melalui Latihan Jangka Pendek.

Dato’ Seri Yang Dipertua,

Ahli Yang Berhormat Sungai Rapat telah membangkitkan isu, memantap dan memperkasakan industri halal di Negeri Perak supaya pegawai dan kakitangan penyelidikan di JAIPk distruktur semula bagi mancapai objektif di atas. Ahli Yang Berhormat Sungai Rapat juga telah membangkitkan isu, agar program-program hebahan dan penerangan berkenaan isu halal dapat dilanjutkan dan diteruskan seperti dahulu oleh Jabatan Agama Islam Perak.

Menyentuh mengenai soal penstrukturan semula bahagian halal di Jabatan Agama Islam Perak, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah bersetuju untuk menaiktaraf unit halal yang buat masa ini berada di bawah Bahagian Penyelidikan kepada satu bahagian penuh iaitu Bahagian Halal. Kelulusan ini bukan di Negeri Perak sahaja malahan di Jabatan Agama Islam Negeri yang lain. Dengan wujudnya bahagian ini, kakitangan akan bertambah dan proses kerja akan menjadi lebih baik dan berkualiti. Oleh yang demikian, industri halal di Negeri Perak akan diperkasa dan menjadi bertambah mantap sepertimana saranan Ahli Yang Berhormat Sungai Rapat.

Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan program hebahan dan penerangan berkaitan halal kepada masyarakat. Antara bentuk promosi dan hebahan yang ada dijalankan adalah seperti :

a)   Mengadakan Seminar Pematuhan Halal kepada industri yakni

b)   Pemegang sijil halal.

b)   Mengadakan Karnival Halal Perak setiap tahun dalam skala yang besar sejak tahun 2007.

c)   Mengadakan ceramah kesedaran kepada pelbagai pihak meliputi usahawan di bawah agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Swasta dan pelajar sekolah.

d)   Menyertai pameran anjuran pelbagai agensi kerajaan.

e)   Memberi tunjuk ajar dan bimbingan mengenai penggunaan sistem My E-Halal yang merupakan Sistem Permohonan Halal yang digunakan di seluruh Negara.

f)    Mengadakan promosi melalui media elektronik dan media sosial.

 

Dato’ Seri Yang Dipertua,

Ahli Yang Berhormat Sungai Rapat juga telah membangkitkan isu Laporan Audit Negara 2013 mengenai unit pengurusan halal dan beberapa cadangan untuk penambahbaikan telah dicadangkan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri mengamalkan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy) yang mana kesemua proses penentuan status halal dijalankan di makmal-makmal sedia ada di jabatan lain seperti di Jabatan Kimia. Kerajaan Negeri buat masa ini berpendapat bahawa tiada keperluan untuk membina sebuah makmal penyelidikan halal di bawah kelolaan JAIPk dan Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan pembinaan makmal tersebut dari semasa ke semasa.

Manakala INTIM pula akan terus dikekalkan sebagai pusat latihan di Institut agama di negeri ini.

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Manjoi mencadangkan agar Kerajaan Negeri membuat kajian menyeluruh mengenai pengisian dan kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dalam meransang intelektual pelajar supaya pengupayaan modal insan mencapai matlamatnya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, satu kajian menyeluruh telah dilaksanakan oleh sekumpulan pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) yang diketuai oleh Profesor Ar. Bukhari Bin Lubis ke arah mempertingkatkan prestasi pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Agama Negeri. Antara objektifnya ialah menaikkan tahap pencapaian sekolah agar berada dalam ranking top ‘5’ di dalam negeri ini. Buat masa ini sekolah-sekolah ini berada dalam top ‘10’ pencapaian peperiksaan-peperiksaan utama di mana syarat minimum kemasukan ke sekolah adalah UPSR 3A 2B, UPKK 4A 4B dan menduduki pengajian Sijil Rendah Agama darjah 6.

Untuk makluman Ahli Yang Berhomat juga mulai tahun 2011 pengajian tahfiz telah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah berkenaan.

 

Dato’ Sri Yang Dipertua,

Selain itu, Ahli Yang Berhormat Manjoi juga telah membangkitkan isu mengenai, status Sekolah Bantuan Modal Penuh (SBMP) bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar masalah prestasi pelajar Sekolah Menengah Izzudin Shah dan Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah dapat diatasi serta kebajikan guru-guru kontrak terbela.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada dasarnya Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjadikan Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Izzuddin Shah sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Status terkini MoU telah di serahkan ke Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekiaranya kementerian bersetuju dengan draf yang dicadangkan maka majlis menandatangani MoU akan dapat dilaksanakan. Kerajaan negeri menetapkan bahawa selewat-lewatnya tahun 2015 kedua-dua sekolah ini akan didaftarkan dibawah SABK. Disamping menunggu draf tersebut Kerajaan Negeri telah mengemukakan penstrukturan perjawatan bagi membolehkan guru-guru kontrak diserapkan sebagai guru tetap. Pada 3 dan 4 September 2014 pihak JPA telah membuat lawatan ke SMAN dan SMTDR untuk melihat dengan kemudahan guru bagi tujuan penambahan perjawatan.

 

PENUTUPAN

Dato’ Sri Yang Dipetua,

Bagi mengakhiri perbahasan hari ini, saya mengajak ahli-ahli yang berhormat merenung sejenak firman Allah SWT :

2

Maksudnya : “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” – ( Surah Al-Hasyr : 7 )

Sejarah telah membuktikan mana-mana peradaban, terutamanya tamadun-tamadun Islam yang berjaya memaut puncak kegemilangan adalah disumbang faktor oleh kualiti insaniah dalam masyarakat tersebut. Dalam membina kapasiti modal insan yang berkualiti agar dapat diaplikasikan dan dihayati oelh seluruh rakyat Negeri Perak tanpa mengira fahaman politik, kaun dan agama. Saya juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta , NGO-NGO, mahupun individu-individu yang mana telah banyak sekali membantu saya dalam memikul tanggungjawab terhadap negeri yang tercinta ini.

Sesungguhnya, sokongan besar rakyat di negeri ini kepada Kerajaan adalah kepercayaan dan mendokong amanah dari rakyat untuk mempastikan sebuah perjalanan kejayaan yang diimpikan menuju sebuah Negeri Perak yang maju dan makmur serta mendapat keampunan dari Allah swt yang Maha esa. Perjuangan suci ini bukanlah perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Kepada Allah jua kita berserah diri dan memohon petunjuknya.

Sekian, Terima Kasih

Wabillahitaufiq Walhidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi wabarokatuh

Hari Keempat – 18 Disember 2014 (Khamis)

SOALAN LISAN

YB. DATO’ HJ. MOHD ZOLKAFLY BIN HJ. HARUN (ADUN LINTANG)

SOALAN KETIGA

Apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam supaya mereka dapat mengamalkan teras ajaran Islam.

(a) Adakah Majlis Agama Islam/Jabatan Agama Islam bercadang untuk melantik Guru Agama dan Imam tetap disetiap surau-surau yang telah didirikan oleh Kerajaan untuk mengimarahkan surau-surau tersebut.

(b) Adakah Majlis Agama Islam/Jabatan Agama Islam bercadang untuk mengambil beberapa orang murid Orang Asli yang berpotensi, dihantar ke sekolah agama supaya membolehkan mereka menjadi Pendakwah Guru Agama, Mubaligh Mengajar dan mengembangkan Islam dikalangan kaum mereka sendiri.

 

JAWAPAN
Dato’ Sri Yang DiPertua,

Terima kasih kepada Yang Berhormat Lintang di atas persoalan baik bagi mengetahui secara langsung mengenai kefahaman dan penghayatan Islam kepada Masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Agama Islam atau dipanggil muallaf.

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa mendokong slogan “ Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir ”. Justeru itu, masyarakat orang asli juga tidak pernah diabaikan. Apatah lagi masyarakat orang asli yang memeluk Agama Islam supaya mereka terus menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebaiknya. Penekanan kepada persoalan aspek akidah, ibadah dan pembelajaran fardhu ain bagi memantapkan lagi kefahaman terhadap ajaran Islam.Di antara langkah-langkahnya adalah ;-

1) Mewujud dan mengajar masyarakat orang asli di 35 buah kelas fardhu ain di perkampungan orang asli yang telah memeluk Islam;

2) Membina sebanyak 87 buah surau dan 7 buah daripadanya telah dinaik taraf menjadi Surau Diri Jumaat di perkampungan orang asli seluruh Perak.

3) Melaksanakan program dan aktiviti Pengukuhan Iman, Ibadah dan Akhlak serta bengkel Pengurusan Jenazah kepada masyarakat orang asli bagi menyempurnakan fardhu ain dan fardhu kifayah seperti Kursus Penghayatan Islam, Bengkel Kefahaman Islam, Bengkel Pemantapan Aqidah, Kursus Solat dan Latihan kepada Imam dan Bilal dan Kursus TOT kepada Guru KAFA Orang Asli

4) Pada sama Mubaligh Islam seramai 46 Orang dan Penggerak Masyarakat Orang Asli seramai 60 Orang yang dilantik telah melaksanakan pelbagai aktiviti demi memastikan amalan dan penghayatan Islam dalam kehidupan masyarakat Orang Asli terus dilaksanakan secara istiqomah samada dalam mingguan bulanan mahupun tahunan.

Dato’ Sri Yang DiPertua

a) Untuk Makluman Ahli-ahli yang berhormat, pada masa ini tiada sebarang perjawatan tetap di surau-surau yang terletak di perkampungan orang asli. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan tersebut dari semasa kesemasa.

b ) Kerajaan Negeri melalui Bahagian Dakwah JAIPK sentiasa peka dan prihatin untuk melahirkan Pendakwah, Mubaligh dan Guru Agama dikalangan Orang Asli sendiri sebagai barisan pelapis dalam meneruskan penyampaian Islam kepada golongan Orang Asli sendiri.Menyedari hakikat ini, usaha yang berterusan telah dilaksanakan sebagai persiapan di hari muka , antara usaha tersebut :-

1) 15 orang pelajar telah dihantar ke Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan.

2) 2 orang pelajar telah dihantar ke Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mua’azam Shah (PUSBA) di Sungai Petani, Kedah.

3) 7 orang pelajar telah dihantar ke Pusat Dakwah Islamiah Al-Muhammadi, Sungai Petani, Kedah.

4) 11 orang pelajar telah dihantar ke Kompleks Pendidikan Manabi’ul Ulum Batu 10, Lekir , Setiawan, Perak.

Justeru itu, dorongan dan sokongan daripada ahli-ahli Yang Berhormat amat diharapkan untuk menyemarakkan usaha dakwah dikalangan Orang Asli khususnya dalam bidang pendidikan dan pembelajaran.