Ahmad Masrizal (kanan) melihat cadangan Rancangan Tebatan Banjir Perak Tengah di PPRT Rimba Raja, Kampung Gajah yang sering dilanda banjir. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Ahmad Masrizal (kanan) melihat cadangan Rancangan Tebatan Banjir Perak Tengah di PPRT Rimba Raja, Kampung Gajah yang sering dilanda banjir. – Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

KAMPUNG GAJAH: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memohon peruntukan RM150 juta di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh di Perak Tengah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata permohonan itu akan dibuat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi projek Rancangan Tebatan Banjir Perak Tengah yang merangkumi mukim Bota, Lambor Kanan dan Layang-Layang.

Masalah banjir di daerah berkenaan sejak berpuluh tahun lalu disifatkan serius dan di luar jangkaan kerana bukan setakat menjejaskan penempatan tetapi turut menyebabkan kerosakan tanaman sawit dan sawah padi yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

“Kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir adalah Kampung Tanjung Bidara, Kampung Raja, Kampung Pisang, Kampung Buluh Akar, Kampung Sadang, Kampung Serapoh, Kampung Parit 14 dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Rimba Raja.

“Saya juga sudah meminta JPS menyediakan pam bergerak di semua lokasi terbabit banjir sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan masalah itu.

“Bagi penyelesaian secara menyeluruh, JPS akan membuat permohonan projek baharu di bawah RP2 RMK-12 yang dianggarkan bernilai RM150 juta,” katanya selepas melawat PPRT Rimba Raja, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali.

Ahmad Masrizal berkata, dalam perancangan sama, pihaknya akan membina empat rumah pam banjir kekal yang dianggarkan memerlukan peruntukan RM13 juta di PPRT Rimba Raja dan Kampung Parit 14.