3 NOV: Para remaja perempuan daripada keluarga berpendapatan rendah B40 yang terlibat dengan insiatif pemberian Kit Kebersihan Asas berpeluang mengikuti program pendidikan kesihatan reproduktif secara dalam talian.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, program tambahan itu akan dikendalikan oleh Pembimbing Remaja KafeTEEN dan mereka juga akan didaftarkan sebagai ahli baharu Sahabat KafeTEEN bagi mendapat pengetahuan serta bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.

“Pemberian kit kebersihan diri ini akan mampu membantu golongan wanita terutamanya remaja perempuan kembali pulih dan sihat tubuh badan, fizikal dan mental, membantu setiap individu wanita mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat.

“Ia juga sebagai keprihatinan dan sokongan moral kepada remaja dan wanita terutama yang memerlukan ketika negara berada dalam fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Pada bajet lalu, kerajaan memperuntukkan 130,000 kit setiap bulan kepada penerima kit asas kebersihan diri seperti tuala wanita bagi remaja perempuan B40 secara percuma.

Ia membabitkan 1.56 juta kit dalam tempoh setahun dengan nilai lebih RM6.24 juta.