USTAZ Mohd Nizar (kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan seperjuangan selepas terpilih sebagai calon di Parlimen Parit.
USTAZ Mohd Nizar (kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan seperjuangan selepas terpilih sebagai calon di Parlimen Parit.

Kuala Lumpur: Keperibadian yang mesra dan santai Datuk Mohd Nizar Zakaria sejak menjadi Ahli Parlimen pada 2008 dengan penduduk di Parlimen Parit menjadi pengukur keyakinan tinggi pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menggalas amanah sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Komitmen tinggi dan keberadaan dalam masyarakat memberi banyak kelebihan kepada Mohd Nizar yang mesra disapa Ustaz Mohd Nizar.

Beliau yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dijangka mampu bagi memastikan kerusi Parlimen Parit terus di bawah BN.

Ustaz Mohd Nizar seorang figura yang terkenal sebagai salah seorang anak kapal MV Rachel Corrie yang ditahan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) semasa tiba di perairan untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin pada 2010.

Atas semangat perjuangan yang kental itulah menjadikan Ustaz Mohd Nizar terus membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama sehabis baik demi kestabilan dan kemakmuran di Parlimen Parit ini.Advertisement

Sebelum ini, Ustaz Mohd Nizar yang juga Ketua Umno Bahagian Parit dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2018, selain pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ketika itu beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja pada 2013-2018.

Ustaz Mohd Nizar memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol, Padang Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam PRU-14 lalu, Ustaz Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon PAS, Dr Najiha Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.

Malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman, untuk menggalas amanah sebagai calon peringkat Parlimen.

BN juga menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik, di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

“Di hadapan saya ini adalah calon-calon yang akan menggalas amanah besar, bagi kita membawa aspirasi rakyat dan mengembalikan kegemilangan negara.

Ini adalah amanah berat, yang bukan hanya akan dihakimi oleh rakyat, tetapi akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.

“Saya amat sedar, sementara kepentingan politik dalaman BN menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon namun tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkat kembali agenda mensejahteraan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian,” kata.