Parit: Parlimen P.069 Parit mungkin dianggap kawasan selamat atau deposit tetap kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kemenangan besar dengan majoriti 6,320 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Namun ia bukan alasan buat penyandangnya yang juga calon BN bagi PRU-15, Datuk Mohd Nizar Zakaria untuk berasa selesa, malah gerak kerja dan strategi kempen dilaksana secara bersama atau sederap dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan Dun Belanja, Khairudin Abu Hanipah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.

Mohd Nizar (tengah) bersama Cikgu Din (kiri) dan Khairul Shahril berkempen secara bersama bagi memastikan kemenangan BN di Parit.
Mohd Nizar (tengah) bersama Cikgu Din (kiri) dan Khairul Shahril berkempen secara bersama bagi memastikan kemenangan BN di Parit.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun ialah seramai 23,840 orang, sehubungan itu, Mohd Nizar mahu memastikan golongan belia di Parit sentiasa mendapat keutamaan terutama daripada segi menjana pendapatan dan pendidikan.

Selaras dengan hasrat itu, Parit sebenarnya semakin pesat membangun dengan penyediaan prasarana dan perkhidmatan yang dinamik.

Beliau berkata, sebagai contohnya, pelaburan pembinaan kilang pembuat kompenan elektrik dan elektronik XP Power Pte Ltd membabitkan RM300 juta bakal menyediakan lebih 1,200 peluang pekerjaan di Seri Iskandar. Ini peluang besar kepada golongan belia.

Menurutnya, tidak lupa, limpahan penyediaan dana pinjaman serta bantuan pemberian kiosk bernilai RM50 juta untuk peniaga dan penjaja seperti yang ditawarkan dalam Manifesto BN Perak, pastinya manfaat besar menanti rakyat di Parlimen Parit ini.

“Demi kesejahteraan ekonomi rakyat, naiktaraf jaringan luar bandar sentiasa diutamakan. Di Parit, jambatan menghubungkan Kampung Lambor Kiri ke Kampung Lambor Kanan yang merentasi Sungai Perak sudah siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sejak 2008 berkata, petunjuk nyata pengundi menilai ialah rekod ditunjuk BN sebagai kerajaan yang cekap dan baik selama ini.

“Cukup penting untuk saya dan rakan di Dun Bota dan Dun Belanja mendapat kepercayaan pengundi kerana pelbagai agenda sudah disusun. Rekod perkhidmatan cukup untuk pengundi menilai kami malah manifesto BN Perak dengan matlamat Kestabilan Demi Kesejahteraan, Rakyat Makmur Rakyat Sejahtera menjadi jaminan terbaik kepada rakyat Perak,” katanya.

Mohd Nizar berkata, kemenangan mutlak 3-0 di Parit sangat dituntut sebagai sumbangan besar membentuk kerajaan negeri baharu dan kerajaan Persekutuan selepas 19 November.

Khairul Shahril (dua dari kanan) sentiasa dekat dengan golongan belia dan penduduk di DUN Bota.
Khairul Shahril (dua dari kanan) sentiasa dekat dengan golongan belia dan penduduk di DUN Bota.

Mengulas mengenai sokongan kepada golongan belia, calon BN bagi DUN Bota, Khairul Shahril, 49, pula berkata, beliau berterima kasih kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana sentiasa mengambil berat dan meletakkan belia di tempat tertinggi untuk mendapat inisiatif terbaik daripada kerajaan.

“Menerusi manifesto BN Perak, kita ada peruntukan RM35 juta bagi program mesra orang muda, membuktikan Menteri Besar mengambil serius pandangan dan peranan belia.

“Untuk belia kita lihat inisiatif seperti Geran Keusahawanan Belia Perak malah kewujudan Sekretariat Usahawan Negeri Perak yang menghimpun agensi penting secara sepusat dapat membantu usahawan mempercepatkan penyelesaian isu berbangkit,” katanya.

“Saya ada berita gembira iaitu dua pencawang komunikasi diluluskan di Kampung Orang Asli Suak Padi dan Kampung Kuchai, Lambor Kiri yang dilaksanakan tidak lama lagi, proses sedang berjalan.

“Kita sedar masalah komunikasi di Kampung Lengkuas berkaitan liputan ini kerana kedudukan geografi di pedalaman, jadi ada kekangan. Sebuah pencawang komunikasi sudah diluluskan dan siap digunakan,” katanya.

Cikgu Din tidak melepaskan peluang bermesra bersama kanak-kanak dalam program bersama penduduk.
Cikgu Din tidak melepaskan peluang bermesra bersama kanak-kanak dalam program bersama penduduk.

Sementara itu mengulas mengenai aspek pendidikan, calon BN bagi Dun Belanja, Cikgu Din, 50, berkata, selaku bekas guru, beliau melihat Menteri Besar memberi penekanan kuat dalam bidang pendidikan yang mana kerajaan negeri berjanji menyediakan tuisyen percuma kepada seluruh anak Perak yang mengambil peperiksaan awam.

“Ini inisiatif cukup baik bagi memberi tahap pendidikan cukup tinggi kepada anak-anak Perak,” katanya.

“Bagi daerah Perak Tengah, kita diangkat sebagai koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang mungkin kurang daripada segi pencapaian akademik tapi boleh menceburi dalam bidang teknikal. Ini satu inisiatif cukup baik dan kita mengharapkan manifesto ini kita selaraskan apabila kita membentuk kerajaan.

“Saya sebagai bekas guru cukup menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan BN khususnya memastikan pendidikan diberi keutamaan,” katanya.

Mohd Nizar menunjukkan bakat menyediakan hidangan bersama kaum ibu.
Mohd Nizar menunjukkan bakat menyediakan hidangan bersama kaum ibu.