PARIT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet yang dilantik perlu menjaga nama baik negara dan kerajaan dengan menghormati sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu dijadikan sebagai platform perbincangan demi kebaikan masyarakat dan negara.“Laksanakanlah perbincangan dan pelaksanaan termasuklah di institusi sistem demokrasi di Dewan rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN).“Jadikan di situ sebagai platform yang boleh menjurus pandangan atau perancangan atau teguran dan kritikan yang boleh dijadikan sempadan demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Jangkauan Komuniti Retro Outreach bersama LPPKN di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, di sini hari ini.Mohd. Nizar juga turut mengingatkan Perdana Menteri dan barisan Kabinet mereka berdepan tugas yang berat dalam memulihkan negara dari pelbagai aspek.Beliau berharap, Perdana Menteri dan barisan Kabinet bekerja sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh.“Dalam situasi pandemik Covid-19, rakyat memerlukan sesuatu perkara yang boleh untuk kita tuntaskan masalah-masalah, contohnya dari segi kegawatan ekonomi mereka yang hilang pekerjaan, yang ada di institusi pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Mohd. Nizar yakin Ismail Sabri bersama barisan Kabinet yang dilantik mampu melaksanakan tugas masing-masing dengan baik. – UTUSAN ONLINE