23 SEPT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, terima hampir 10,000 laporan kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata jumlah kes keganasan rumah tangga yang direkodkan sepanjang tahun tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding tahun 2019.

Berikutan itu, Rina berkata kementerian mempromosikan Talian Kasih bagi mendekati mereka yang menjadi mangsa atau terkesan daripada keganasan rumah tangga.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah pada tahun 2020 adalah 5,260 kes, ada penurunan jika dibandingkan pada  2019 iaitu 5,657 kes. Bagi tempoh Januari hinga Ogos, jumlah yang direkodkan adalah 4,905 kes.

“Sejak PKP bermula dari Mac 2020 sehingga Disember 2020 dicatatkan 4,110 kes dan daripada Januari hingga Ogos 2021, jumlah kes yang direkodkan adalah 4,905 kes yang membawa jumlah sebanyak 9,015 kes,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Parlimen hari ini.

Untuk Mac 2020 sehingga Disember 2020, sebanyak 2,286 aduan yang telah dicatatkan dan untuk Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 2,248 aduan direkodkan.

Rina berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN-Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria yang meminta menteri menyatakan jumlah kes keganasan rumah tangga yang telah dilaporkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan serta bentuk sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga yang diberikan.

Mengulas lanjut, Rina berkata kementeriannya melaksanakan beberapa inisiatif untuk membendung dan membantu individu-individu yang terkesan menerusi Talian Kasih yang kini beroperasi setiap hari.

Beliau berkata kementerian telah memperluas usaha mempromosi aduan dalam talian menerusi Talian Kasih dan aplikasi WhatsApp.

“Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam sehingga ‘point of contact’ kepada semua masyarakat bagi mengemukakan aduan, mendapatkan khidmat nasihat serta mengakses bantuan termasuk perkhidmatan psikososial.

“Ini dapat membantu orang awam terutama mangsa yang dilengkapi dengan maklumat utama agar tidak terus berada dalam kitaran keganasan rumah tangga yang mengancam diri sendiri, keluarga serta mendorong mana-mana pihak yang terkesan untuk membuat laporan,” katanya.